Bahasa

Langkah RoS agar DAP tidak boleh guna logo Roket, jejaskan undi Cina

Oleh Jahabar Sadiq
Pengarang

April 18, 2013
Latest Update: April 19, 2013 05:48 am

 

KUALA LUMPUR, 18 April — Langkah Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk tidak mengiktiraf pucuk pimpinan DAP bermakna satu perkara, tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk menandatangani surat watikah calon untuk menggunakan logo Roket dan memaksa mereka menggunakan logo bulan PAS atau logo mata PKR.

Keputusan tersebut mungkin akan menjejaskan peluang calon DAP di 49 kerusi Parlimen dan lebih 100 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya 5 Mei oleh kerana kebanyakkan kerusi yang mempunyai majoriti masyarakat Cina akan ditandingi oleh parti yang popular dengan logo Roketnya.

“Keputusan RoS bermaksud tiada siapa yang diiktiraf oleh kerajaan mempunyai kuasa. Jadi, mereka tidak mempunyai kuasa untuk tandatangan surat watikah untuk menggunakan symbol parti,” kata sumber  DAP kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengatakan pucuk pimpinan parti masih berbincang mengenai pilihan yang mereka ada sekarang walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan logo Roket boleh digunakan.

“Kami harus melihat implikasi dari keputusan itu,” tambahnya.

Logo roket parti itu berada merata-rata dalam pilihan raya umum 2008, di mana bertanding di 149 kawasan pilihan raya, termasuk 47 kerusi Parlimen dan memenangi 28 kerusi Parlimen dan 63 kerusi negeri.

Sembilan belas daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah di Pulau Pinang dimana mereka membentuk kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) bersama PKR dan PAS. Ketiga-tiga parti ini masih lagi membentuk satu pakatan formal menyebabkan mereka perlu menggunakan logo masing-masing dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar walau bagaimanapun percaya DAP masih lagi boleh menggunakan logo Roket mereka.

“Boleh boleh bertanding guna logo mereka sebab masalah dengan RoS ini bukan masalah pembatalan parti. Cuma masalah RoS tidak iktiraf pemilihan CEC,” kata Wan Ahmad apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.

“Jadi pucuk pimpinan DAP perlu bertemu dengan RoS samada hari ini atau esok untuk selesaikan masalah ini dan dapatkan penjelasan senarai CEC yang mana yang RoS iktiraf,” tambah beliau.

Penerima manfaat segera daripada tindakan RoS dua hari sebelum hari penamaan calon itu adalah parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA, yang kehilangan pengaruh disebabkan populariti DAP selepas pilihan raya umum 2008.

Parti Cina itu telah “meminjamkan” tiga kerusi Parlimen untuk Umno akibat daripada kehilangan sokongan dilihat sebagai risiko kepada gabungan pemerintah itu pada pilihan raya 5 Mei.

“MCA akan pusing bandar dan mengatakan undi Cina dalam bahaya kerana pemerintahan PAS sebab DAP tunduk kepada PAS kerana DAP tidak boleh guna logo Rocket,” kata penganalisis politik yang tidak mahu dinamakan.

“Ini pastinya akan memberikan kesan kepada DAP,” tambah beliau.

Sumber dalam BN mengatakan gabungan tersebut perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 25 peratus undi Cina dalam Pilihan Raya 2013 atau akan hilang lebih banyak kerusi berbanding Pilihan Raya 2008.

Ramai penganalisis percaya BN hanya boleh mendapatkan 20 peratus undi Cina dalam pilihan raya akan datang.

Hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 di luar negara layak untuk mengundi dalam pilihan raya 5 Mei ini.

 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi