Bahasa

Lawatan Najib ke Gaza tunjukkan sokongan teguh terhadap perjuangan Palestin

January 23, 2013

GAZA, 23 Jan —  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lawatan kemanusiaan sehari ke sini adalah untuk menunjukkan perpaduan dan sokongan teguh Malaysia dan rakyatnya terhadap perjuangan Palestin.

Malaysia boleh menghantar bantuan kewangan dan kemanusiaan kepada rakyat Palestian, tetapi beliau melihat lawatan itu sebagai simbol sokongan berterusan yang amat kuat kepada Palestin.

Gaza, merupakan satu daripada penempatan di Palestin dan dengan keluasan separuh dari Perlis di Malaysia, kawasan itu mempunyai 1.7 juta penduduk.

"Saya harap lebih banyak pemimpin Islam dari seluruh dunia akan melakukan yang sama. Perjuangan ini bukan hanya untuk rakyat Palestin tetapi juga untuk Ummah," katanya pada mesyuarat dengan menteri kabinet Palestin sempena lawatan beliau ke Gaza.

Pada majlis sama, Najib berkata beliau kagum dengan ketabahan rakyat Palestin dalam menghadapi pencerobohan Israel di tanah mereka, dan ia boleh dianggap kemenangan moral yang luar biasa.

Perdana menteri berkata melalui lawatan itu, beliau dan delegasinya boleh melihat sendiri kemusnahan disebabkan serangan tentera Israel terhadap sasaran seperti masjid dan sekolah yang tidak mempunyai kepentingan tentera.

Dalam lawatan singkat itu, Najib ditemai isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Ini (pencerobohan) benar-benar tidak boleh diterima dan bertentangan dengan semua dasar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Semakin banyak dunia tahu, semakin banyak mereka akan sokong perjuangan rakyat Palestin," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia menyokong penyatuan Tebing Barat di bawah Fatah dan Gaza di bawah Hamas untuk membentuk sebuah kerajaan bersama di Palestin.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh berkata lawatan Najib adalah yang julung kali dilakukan oleh seorang perdana menteri asing yang bukan dari negara Arab, ke Gaza.

Pada lawatan ke Gaza, Najib dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Al-Aqsa atas sokongan yang diberi terhadap perjuangan Palestin.

Najib, dalam ucapan penerimaannya, berkata beliau berbesar hati menerima ijazah kehormat itu bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia.

"Walaupun saya menganggap diri saya seorang rakan bagi rakyat Palestine, rakyat Malaysia keseluruhannya yang menawarkan bantuan, yang memberikan apa yang termampu untuk membantu penduduk di sini, yang sentiasa mengingati rakyat Palestin yang tidak berdosa apabila berlaku keganasan di sini," katanya berucap pada majlis penganugerahan di universiti itu.

Pada majlis itu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor turut dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh universiti berkenaan atas kerja-kerja kebajikan beliau.

Najib berkata komitmen Malaysia boleh dilihat daripada dana dan bekalan perubatan yang disumbangkan pada misi kemanusiaan tahun lepas, dan dalam semangat rakyat Malaysia yang datang membawa sumbangan itu.

Dalam ucapannya, perdana menteri turut mengumumkan bahawa Malaysia menawarkan biasiswa dan tempat kepada penuntut Palestin yang layak dan berhasrat melanjutkan pengajian di Malaysia di peringkat ijazah pertama dan lepasan ijazah. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi