Bahasa

LCC sudah sedia berpindah ke klia2

Syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) hanya mempunyai masa kurang dua bulan untuk memindahkan operasi masing-masing ke klia2 bagi mengelak kesesakan.

Lapangan terbang berharga RM4 bilion yang akan dikenali sebagai terminal khas LCC terbesar di dunia itu, dijadual dibuka pada 2 Mei, 2014.

Difahamkan operator lapangan terbang, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), sudah memaklumkan kepada LCC untuk berpindah ke bangunan baharu itu.

Kontraktor bangunan terminal, Bina Puri dan rakannya UEM Construction, juga bersetuju membenarkan syarikat penerbangan, peruncit komersil dan agensi, mula melakukan pengubahsuaian masing-masing.

Difahamkan bahawa kerja-kerja ubah suai di ruang istirahat dilaksanakan oleh syarikat penerbangan baharu yang mempunyai jumlah pesawat yang kecil.

Ia terletak kira-kira 50 meter dari Sama Sama Express Hotel MAHB yang dibina untuk penumpang transit.

Malindo Air, Cebu Pacific dan AirAsia adalah antara syarikat penerangan yang akan memindahkan operasi masing-masing ke klia2.

AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia, dijangka menggunakan 80% klia2.

Pada mesyuarat Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (Orat) terakhir pada 3 Mac, mereka dimaklumkan bahawa tiada syarikat penerbangan yang menolak untuk berpindah ke klia2.

Selain syarikat penerbangan, 80% ruang peniagaan di terminal itu juga sudah dipenuhi.

Pelbagai jenama, tempatan dan antarabangsa akan beroperasi di klia2.

Hab runcit klia2 ialah antara projek permulaan (EPP) di bawah Bidang ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk sektor pemborongan dan peruncitan.

Ruang perniagaan di klia2 dibahagikan kepada dua bahagian - Terminal Utama dan Gateway@klia2 atau Landside Mall.

Ia madalah perjalanan yang sangat panjang bagi klia2 memandangkan tarikh asal lapangan terbang itu dibuka ialah pada September 2011.

Pembukaannya ditangguhkan lima kali dengan kali terakhir pada 2 Mei.

Antara faktor yang menyebabkan penangguhannya ialah MAHB berusaha keras untuk memenuhi senarai hasrat pemegang kepentingan, termasuk muzium untuk mempamerkan pesawat lama.

Atas sebab-sebab yang munasabah, cadangan itu ditolak.

Pemegang kepentingan termasuk pihak berkuasa, orang ramai dan syarikat penerbangan sendiri.

MAHB menganjurkan kira-kira 40 mesyuarat bersama mereka sejak 2009.

klia2 yang mampu menampung Superjumbo A380, seperti yang diminta oleh sebuah syarikat penerbangan kos rendah, kini menjalani Orat.

Ia perlu dilakukan tiga bulan sebelum pembukaan.

Dalam memenuhi senarai panjang, beberapa pihak sewenang-wenangnya mendakwa kelewatan itu menyebabkan kos meningkat.

MAHB mendakwa klia2 berharga RM4 bilion, yang akan mengendalikan kira-kira  45 juta penumpang setahun, dibangunkan pada kos paling rendah bagi seorang penumpang.

Ia dilengkapi kemudahan canggih termasuk jambatan udara, landasan yang lebih panjang dan terminal yang lebih besar.

MAHB yakin ia akan memperoleh semula RM4 bilion yang dibelanjakan dalam tempoh dua tahun atau pada 2016. - Bernama, 6 Mac, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.