SANDAKAN, 4 Sept — Parti Liberal Demokratik (LDP) menafikan bahawa seorang lagi naib presiden parti itu akan mengikut langkah Timbalan ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin keluar dari parti itu awal minggu ini.
Presiden LDP Datuk Liew Vui Keong berkata naib presiden Isaac Pang Su Kiun telah memberi jaminan dan menyatakan komitmen beliau untuk terus kekal dalam parti itu.
“Isaac pada masa sekarang bercuti di luar negara yang telah beliau rancang sejak enam bulan lepas,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabat cawangan LDP Karamunting di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan pemimpin, ketua pemuda dan wanita dari cawangan Karamunting, Tanjung Papat, Elopura, Gum-Gum, Sekong dan Sungai Sibuga.
Dipetik Bernama, Liew berkata semua pengerusi cawangan itu hadir dalam mesyuarat itu kecuali Pang yang telah keluar parti dan Isaac, pengerusi cawangan Tanjung Papat bercuti di luar negara, manakala pengerusi cawangan Gum-Gum Jason Tan telah memaklumkan tidak dapat hadir.
Menurutnya mesyuarat itu untuk memberi penerangan kepada mereka mengenai senario yang berlaku dalam parti termasuk mengenai keputusan Pang keluar dari LDP pada Rabu lepas.
Beliau berkata tindakan Pang keluar dari LDP tidak akan menjejaskan kekuatan parti itu dan tumpuan pada masa sekarang adalah untuk mendapat semula keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Katanya ia menjadi antara matlamat utama LDP bagi memastikan BN menang pada pilihan raya akan datang dan mengekalkan kuasa pemerintahan.
Semalam, Liew menafikan dakwaan bahawa LDP akan keluar BN berikutan kenyataan timbalan presidennya mengenai kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bulan lepas.
Liew berkata parti itu akan kekal sebagai komponen BN dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Kami cuma berasakan sokongan terhadap BN semakin kurang di Sabah dan kami cuba memberitahu kerajaan, khususnya BN, agar berbuat sesuatu mengenainya.
“Apa yang kami mahu lakukan sekarang ialah cuba memenangi semula keyakinan rakyat di Sabah,” katanya.







