Bahasa

Lebih 100,000 pelajar lafaz ikrar serentak memelihara alam sekitar

September 18, 2012

PUTRAJAYA, 18 Sept — Lebih 100,000 pelajar dari 157 buah sekolah rendah dan menengah terpilih di seluruh negara melafaz ikrar secara serentak pada kira-kira pukul 8 pagi ini untuk lebih bertanggungjawab dalam memelihara kemampanan petempatan manusia dan alam sekitar.

Program itu adalah kesinambungan Program Habitat Moment yang diperkenalkan sejak 2009 dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dengan penglibatan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang terpilih.

Selain pembacaan ikrar, Program Bank Kitar Semula juga dilaksanakan secara serentak di 46 buah sekolah terpilih di Semanjung Malaysia (kecuali Selangor, Perak dan Pulau Pinang) bermula 8 pagi hingga 4 petang hari ini untuk menerapkan amalan kitar semula khususnya daripada kalangan pelajar supaya sentiasa mengamalkan budaya kitar semula dalam kehidupan harian.

Kedua-dua program sempena sambutan Hari Habitat Sedunia yang bakal disambut pada 1 Okt ini akan diiktiraf sebagai “Penyertaan Terbesar Pelajar-pelajar Sekolah Yang Melafazkan Ikrar ‘Aku Janji’ Secara Serentak” dan “Pengumpulan Barangan Kitar Semula di 45 Buah Sekolah Secara Serentak” dalam Malaysia Book of Records.

Dalam perutusannya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata Malaysia adalah antara negara yang paling banyak menghasilkan sisa buangan iaitu kira-kira 17,000 tan metrik setiap hari atau lima juta tan metrik setiap tahun.

Beliau berkata kadar amalan kitar semula di negara ini amat rendah berbanding dengan banyak negara iaitu pada aras 5 peratus setahun sahaja.

“Dijangka menjelang tahun 2020, penduduk negara akan menghasilkan sehingga 30,000 tan metrik sehari... jumlah sisa pepejal yang dijana ini akan memenuhi kawasan seluas kira-kira tiga padang bola sepak.

“Dengan kata lain, sisa-sisa pepejal yang dihasilkan ini sekiranya tidak dihantar ke tapak pelupusan, sisa pepejal selama tiga hari, ia akan memenuhkan keseluruhan bangunan KLCC.”

Teks perutusan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) kementerian Yong Bun Fou.

Chor berkata amalan kitar semula perlu dipertingkatkan di peringkat nasional, kawasan, komuniti serta individu dan kejayaan program ini bergantung kepada kerjasama yang erat di kalangan semua pihak.

Sehubungan itu, beliau menyaran semua rakyat Malaysia mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dijana agar kos mengendalikan sisa-sisa ini dapat dimanfaatkan dengan lebih baik.

Beliau berkata hasil kajian oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) menunjukkan Program Bank Kitar Semula di Sekolah pada tahun lepas adalah program yang mencatatkan jumlah keseluruhan kutipan kitar semula tertinggi iaitu sebanyak 98,054kg dengan hasil jualan sebanyak RM32,105. — Bernama

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi