Lebih 3,000 lawat banduan di penjara Pengkalan Chepa sempena Aidilfitri
KOTA BAHARU, 22 Ogos — Seramai 3,275 orang melawat penghuni Penjara Pengkalan Chepa di sini, dalam tempoh dua hari sejak semalam, sempena sambutan Aidilfitri.
Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Husin Johari, berkata pada tahun lepas, kira-kira 2,000 orang melawat anggota keluarga mereka yang dipenjarakan di situ.
“Peningkatan jumlah pelawat tahun ini berikutan kesedaran keluarga dan hasil program merapatkan silaturrahim antara Jabatan Penjara dan orang ramai termasuk program Jalinan Kasih,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Husin berkata kebanyakan penghuni penjara itu adalah tahanan reman, menjalani hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati mandatori.
“Program Jalinan Kasih diadakan setiap tahun bagi merapatkan hubungan keluarga penghuni dengan pihak penjara ke arah menarik kesedaran menerima pesalah ke pangkuan keluarga selepas menjalani hukuman,” katanya.
Husin berkata dari 8.15 pagi hingga 3.30 petang semalam, seramai 394 tahanan diberi peluang menemui keluarga masing-masing.
Dalam lawatan selama dua hari itu, katanya kebanyakan keluarga banduan memberi kerjasama baik dan memuaskan dan mematuhi syarat yang ditetapkan selain tiada kejadian tidak diingini dilaporkan. — Bernama




