Bahasa

Lebih empat juta kunjungi klinik 1Malaysia

May 09, 2012

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Klinik 1Malaysia mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan rakyat apabila lebih empat juta menggunakan khidmatnya sehingga 17 April lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jumlah pesakit yang mendapat rawatan di Klinik 1Malaysia tahun lepas meningkat kepada 1.98 juta orang berbanding 1.32 juta orang pada 2010.

“Sehingga 8 April lepas terdapat 100 Klinik 1Malaysia beroperasi di seluruh negara yang fokus dalam memberi rawatan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya menjawab pertanyaan Senator S Bagiam Ayem  Perumal yang bertanya tentang bilangan dan pencapaian Klinik 1Malaysia serta kawasan fokus penubuhanya.

“Klinik 1Malaysia dibina di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.”

Menjawab soalan lain S Bagiam, Rosnah berkata bagi meningkatkan kualit perkhidmatan Klinik 1Malaysia, Kementerian Kesihatan telah menempatkan Pegawai Perubatan di Klinik 1Malaysia yang menerima lebih 100 pesakit sehari.

 “Sehingga kini terdapat 11 Klinik 1Malaysia mempunyai Pegawai Perubatan dan dengan adanya Pegawai Perubatan fungsi Klinik 1Malaysia juga bertambah seperti boleh merawat penyakit kronik dan pertambahan jenis ubat-ubatan daripada 77 kepada 440 jenis.

“Pertambahan kakitangan lain terutamanya melibatkan perubatan seperti Jururawat dan Pembantu Perubatan, bergantung kepada keperluan dan permintaan di sesebuah Klinik 1Malaysia itu,” katanya.

Rosnah berkata kementerianya sentiasa memantau tahap perkhidmatan Klinik 1Malaysia supaya rawatan kesihatan yang diberikan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap tertinggi. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi