Bahasa

Lelaki dan wanita ditahan reman berhubung kes pukul petinju negara

May 09, 2012

JOHOR BAHARU, 9 Mei — Seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20-an dan 30-an ditahan reman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes memukul petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron, yang masih dirawat di Hospital Pakar Puteri di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata sehingga kini lapan percakapan sudah direkod manakala tujuh lagi individu masih dicari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 149 kanun yang sama.

“Polis masih menyiasat kejadian sama ada ia melibatkan dendam atau tidak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini sambil menambah polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Beliau berjanji polis tidak akan menyembunyikan apa-apa berkaitan kes itu.

Muhamad Farkhan, 24, yang pernah memenangi pingat emas untuk Malaysia pada Sukan SEA Laos 2009 mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai akibat dipukul sekumpulan lelaki di Taman Molek, di sini awal Ahad lalu.

Atlet kelahiran Johor itu dikatakan diserang selepas menonton perlawanan akhir Piala FA antara Chelsea dan Liverpool bersama-sama rakannya.

Mohd Mokhtar berkata polis telah mengenal pasti tujuh individu yang terbabit dalam dan menggesa mereka menyerahkan diri segera.

Ditanya sama ada salah seorang daripada mereka yang terlibat itu adalah anak seorang kenamaan, beliau berkata “siapa yang makan cili dialah yang terasa pedas”.

Difahamkan dua lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut kini menerima rawatan di salah sebuah hospital di sini sejak Ahad lalu.

Keterangan daripada petinju negara itu masih belum diperoleh berikutan kecederaan tulang rahang yang dialami menyebabkan dia sukar untuk bercakap.

Polis akan mendapatkan keterangan daripada mangsa selepas mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi