Bahasa

Lembaga ekonomi Sabah terus cari pelabur dikala serangan bom

March 06, 2013

Serangan ke atas Lahad Datu tidak menghalang negeri Borneo utara itu dari terus mencari pelabur bagi negeri tersebut. – Gambar Reuters Serangan ke atas Lahad Datu tidak menghalang negeri Borneo utara itu dari terus mencari pelabur bagi negeri tersebut. – Gambar Reuters

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Serangan yang dilancarkan tentera udara dan darat Malaysia ke atas puak militan Filipina di timur Sabah semalam, tidak menghalang negeri Borneo utara itu dari terus mencari pelabur bagi negeri tersebut, menurut laporan Financial Times (FT).

“Jangan risau,” kata Yaakub Johari, ketua eksekutif Perbadanan Pelaburan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedia), dalam laporan tersebut.

“Saya tidak fikir ia akan memberi kesan,” katanya lagi, sambil menambah tentang pertelingkahan itu berlaku dalam jaraknya satu setengah jam penerbangan dari Singapura di mana pameran pelaburan mengenai Malaysia diadakan di negara itu semalam.

Tindakan tentera semalam bermula 24 hari selepas kerajaan Malaysia gagal dalam perundingan dengan 200 orang puak bersenjata Filipina yang mendakwa memiliki Sabah untuk meninggalkan negeri yang terkenal dengan eko-pelancongan dan tempat menyelam.

Akhbar tersebut melaporkan pertelingkahan ini menimbulkan keresahan dari kalangan pemerhati politik dan pelabur, dimana hanya tinggal beberapa minggu sahaja sebelum pilihan raya umum yang dijangka memberi kemenangan tipis Barisan Nasional atau kemenangan Pakatan Rakyat yang belum pernah mentadbir negara.

Akhbar tersebut mengatakan Bursa Malaysia sedang ketinggalan berbanding bursa saham serantau sejak akhir-akhir ini kerana kebimbangan mengenai keputusan pilihan raya, dan menyokong laporan Bloomberg semalam bursa saham tersebut mengalami pencapaian terburuk di Asia tahun ini.

Washington memberitahu warganya untuk mengelakkan diri untuk ke kawasan tersebut, menurut laporan FT lagi.

Johari berkata prioriti Sabah ialah untuk membangunkan pelancongan dan pelaburan untuk industri kelapa sawit yang dirancang secara “cluster” termasuk penapisan dan pengilangan serta pelabuhan di Semporna, salah satu dari tempat kejadian pertempuran berlaku beberapa minggu ini yang mengorbankan enam anggota polis dan 11 puak bersenjata.

Johari dilaporkan mengakui keganasan tersebut memberi kesan kepada pengusaha kelapa sawit, yang gagal menuai dan menjual kelapa sawit sepanjang tiga minggu lalu sejak ketegangan di Lahad Datu, kira-kira 130km dari utara Semporna.

Kelapa sawit ialah salah sebuah eksport komoditi terbesar Malaysia, dimana Sabah mewakili 30 peratus dari pengeluaran.

Memetik kenyataan penganalisis pasaran CIMB, Ivy Ng, laporan akhbar itu mengatakan setiap satu peratus pengurangan boleh menyebabkan ramalan pertumbuhan akan merosot kepada pengeluar terbesar – termasuk Sime Darby dan Felda Global Ventures sehingga dua peratus.

“Jika ketegangan memuncak dan menyebabkan keselamatan diperketatkan, pengangkutan minyak kelapa sawit mentah di dalam dan di luar Sabah akan terjejas, walaupun aktiviti penuaian berterusan,” Ng memberitahu FT.

Akhbar itu melaporkan Johari “meletakkan keberanian dalam prospek Sabah” walaupun ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu dalam sidang media di Lahad Datu semalam anggota keselamatan masih dalam operasi membasmi penceroboh ini selepas pengeboman tersebut.


The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi