Bahasa

Lembaga Tabung Haji umum bonus tahunan 8 peratus

February 07, 2013

KUALA LUMPUR, 7 Feb — Lembaga Tabung Haji hari ini mengumumkan bonus Jubli Emas iaitu 6.5 peratus sebagai bonus tahunan dan tambahan bonus khas sebanyak 1.5 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012.

Ia melibatkan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM2.46 bilion merangkumi pembayaran bonus tahunan sebanyak RM2.13 bilion dan bonus khas sebanyak RM325 juta yang mana merupakan yang tertinggi sejak 50 tahun penubuhan Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah pembayaran sebanyak RM2.46 bilion itu adalah setelah mengambil kira pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM47 juta.

“Inilah hadiah ulang tahun terbaik daripada Tabung Haji bagi menghargai kesetiaan pendeposit yang sentiasa yakin dan aktif menyimpan dana di Tabung Haji,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan bonus Jubli Emas itu, di sini hari ini.

Beliau berkara kedudukan kewangan Tabung Haji yang positif dan kukuh serta lebihan wang rizab yang telah dikumpul selama tujuh lalu, membolehkan Tabung Haji memberi hadiah istimewa ini kepada pendeposit.

Sebelum ini, Tabung Haji mengumumkan bonus enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011.

Jamil Khir berkata Tabung Haji berjaya mencapai pendapatan melebihi RM2 bilion selama tiga tahun berturut-turut sejak 2010 dan keuntungan bersih buat pertama kalinya melepasi RM2 bilion selepas berjaya berada di paras RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut dari tahun 2007.

“Keuntungan selepas zakat dan cukai Tabung haji buat julung kalinya mencecah RM2.1 bilion berbanding RM1.7 bilion pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus. Keuntungan ini menunjukkan peningkatan lebih tiga kali ganda keuntungan tahun 2006,” katanya.

Ia menghasilkan tambah nilai sebanyak RM9.2 bilion kepada dana pendeposit sejak tahun 2006, kata beliau.

Sementara itu, pertumbuhan saiz dan dana pendeposit terus menunjukkan perkembangan yang baik dengan 8.2 juta pendeposit dan RM35.8 bilion dana terkumpul iaitu peningkatan masing-masing sebanyak 17 peratus dan 13 peratus, berbanding tujuh juta pendeposit dan RM31.7 bilion dana pada tahun 2011.

Jamil Khir berkata pertumbuhan saiz dan dana pendeposit meningkat hampir tiga kali ganda sejak awal tahun 2006, sekaligus menunjukkan keyakinan dan kesetiaan pendeposit kepada Tabung Haji.

Beliau berkata jumlah aset pelaburan Tabung Haji 2012 terus mencatatkan pertumbuhan yang sihat sebanyak 22 peratus kepada RM38.4 bilion daripada RM31.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan positif ini adalah hasil peruntukan taktikal pelaburan dan tabungan yang konsisten daripada para pendeposit.

Beliau berkata sumber pendapatan pelaburan Tabung Haji bagi tahun 2012 adalah daripada pelaburan ekuiti sebanyak RM1.7 bilion di mana RM1.2 bilion daripada urusniaga saham dan RM530 juta pendapatan dividen.

Penyumbang kedua terbesar pula adalah pelaburan sekuriti hutang terutamanya bon Islam yang menyumbang RM516 juta.

Sementara itu, para pendeposit boleh menyemak pengkreditan Bonus Jubli Emas melalui kaunter Tabung Haji dan ATM bank-bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamic mulai 10 Februari ini. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi