Bahasa

Lim mahu PAAB percepat projek bekalan air Perak-Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Kerajaan negeri Pulau Pinang meminta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mempercepatkan Projek Pemindahan Air Antara-Negeri Perak-Pulau Pinang untuk memastikan negeri ini tidak akan menghadapi risiko kekurangan air selepas tahun 2020.

Menurut ketua menteri, Lim Guan Eng (gambar) berkata bahawa Pengerusi PAAB, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah memberi jaminan bahawa semua negeri yang telah menandatangani perjanjian penstrukturan semula dengan PAAB akan diberi modal kewangan untuk pembiayaan projek-projek mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pulau Pinang menandatangani perjanjian dengan kerajaan Persekutuan untuk memindahkan aset air di bawah Inisiatif Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air pada 2 Jun 2011.

“PAAB adalah pemilik dan pengurus aset air negara di bawah inisiatif tersebut. Antara syarat persetujuan untuk pemindahan aset air adalah supaya tanggungjawab pembiayaan semua projek air negeri yang dianggarkan akan menelan belanja lebih daripada RM3.2 bilion akan ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

“Cadangan Skim Pemindahan Air Sungai Perak telah diluluskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 30 Jun 2012 dan disokong oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan sedang menunggu kelulusan pelaksanaan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” kata Lim.

Lim berkata, 80 peratus sumber air negeri daripada Sungai Muda dan sumber ini hanya boleh menampung permintaan sehingga tahun 2020.

“Terdapat keperluan segera untuk melaksanakan skim pemindahan air antara-negeri untuk memastikan permintaan air masa depan dapat dipenuhi, serta untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber iaitu Sungai Muda, dan juga ketidakpastian ekoran aktiviti pembalakan di kawasan-kawasan tadahan air Kedah,” kata Lim lagi.

Cadangan Pemindahan Air Mentah Perak-Pulau Pinang akan dilaksanakan dengan mengepam air mentah melalui terowong baru yang melintasi lembangan Kerian dan Sungai Perak, dimana air mentah akan diekstrak dari Sungai Kerian di kawasan berdekatan dengan bendungan rendah Pulau Pinang untuk rawatan di Loji Rawatan Air Kerian, untuk membekalkan air yang boleh diminum ke negeri Pulau Pinang.

Mengikut model bisnes penstrukturan semula air, infrastruktur air mentah akan dibiayai melalui geran daripada kerajaan Persekutuan manakala infrastruktur rawatan air akan dibiayai PAAB, dan projek tersebut dianggarkan berjumlah RM2 bilion dan akan mengambil masa tujuh tahun untuk siap.

“Projek ini dijangka akan menyediakan penyelesaian holistik bagi keperluan masa depan untuk air minum serta sistem pengairan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Perparitan dan Pengairan sehingga tahun 2050,” kata Lim lagi.

Dalam perbentangan bajet negeri 2013, Lim bercadang untuk mendapatkan bekalan air mentah melalui Projek Skim Bekalan Air Mentah dari Sungai Perak.

Katanya dalam perbentangan tersebut, kerajaan Persekutuan perlu menjalankan projek ini sebagai tanggungjawab mereka dalam perjanjian penghijrahan aset air yang ditandatangani dengan Kerajaan Negeri.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.