7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Lim: Transformasi Najib gagal bendung penghijrahan bakat ke luar negara

February 16, 2012

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata usaha menarik bakat tempatan kembali ke Malaysia telah "gagal". — Gambar fail
KUALA LUMPUR, 16 Feb — Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melihat usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melaksanakan transformasi dan mengekang penghijrahan bakat rakyat negara ini ke luar negara telah gagal, ekoran penghijrahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Hassan Marican ke Singapura.

Menurut ketua menteri Pulau Pinang itu, Tan Sri Hassan Marican telah dilantik sebagai Pengerusi Singapore Power Limited (SP) pada bulan Jun lepas menggantikan Ng Kee Choe yang bersara.

"Amat menyedihkan bagi Malaysia apabila kita tidak dapat mengekalkan yang terbaik dan cemerlang seperti Tan Sri Hassan Marican yang terbaru dalam senarai bakat yang berpindah ke luar negara.

Tan Sri Hassan meninggalkan syarikat minyak negara kita pada tahun 2010 berpunca daripada pergeseran dengan pentadbiran semasa, dan sejak itu beliau telah dilantik sebagai pengarah dalam firma- firma luar negara seperti syarikat- syarikat berkaitan dengan kerajaan Singapura seperti SembCorp Industries Ltd, SembCorp Marine Ltd dan Singapore Power.

"Ini amat menyedihkan, lebih-lebih lagi apabila Tan Sri Hassan telah meletakkan Petronas ke dalam senarai syarikat gas dan minyak antarabangsa seperti hari ini."

Jelas Ahli Parlimen Bagan ini lagi, bakat seperti Tan Sri Hassan Marican tidak datang setiap hari, dan kerajaan mesti mengambil langkah segera mengisi kebocaran ini untuk mengekalkan bakat atau risiko kehilangan beliau dan ramai lagi seperti beliau ke negara- negara luar akan semakin bertambah.

Berdasarkan kenyataan pakar ekonomi kanan Bank Dunia Philip Schellekens tahun lalu, beliau telah memberi amaran bahawa situasi penghijrahan bakat rakyat Malaysia dijangka meruncing tambahan asas kemahiran negara sememangnya sempit.

Schellekens menambah bahawa bilangan rakyat Malaysia yang mahir tinggal di luar negara telah meningkat tiga kali ganda dalam dua dekad yang lalu dengan dua daripada setiap 10 rakyat Malaysia memilih untuk meninggalkan negara sama ada untuk Organisasi Pembangunan Kerjasama Ekonomi (OECD) atau ke Singapura.

Dianggarkan sekitar dua juta rakyat Malaysia bekerja di luar negara sejak merdeka.

Tambah Lim, "Jelasnya, selagi kemahiran berpolitik lebih penting daripada kemahiran teknikal, dan perjanjian melalui rundingan terus disenangi berbanding tender terbuka dan tiadanya akauntabili dan ketelusan, Malaysia akan kalah di dalam pertempuran untuk membendung perpindahan bakat."

"Jika seorang ikon pemimpin korporat seperti Tan Sri Hassan Marican terpaksa ke Singapura di mana bakat beliau tidak diabaikan, program transformasi kerajaan Najib untuk menarik bakat telah gagal," katanya lagi.