Bahasa

Lima belas hari berkempen ‘cukup’ untuk BN, Pakatan tidak setuju

Oleh Amin Iskandar, Boo Su-Lyn, Ida Lim and Zurairi AR
April 11, 2013

KUALA LUMPUR, 11 April — Tempoh berkempen 15 hari adalah yang terpanjang sejak Pilihan Raya 1982, namun pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menerima respon bercampur-aduk daripada ahli politik yang bakal menjadi calon.

Parti pemerintah Barisan Nasional (BN) berkata tempoh dua minggu dan sehari antara penamaan calon yang mesti difailkan pada 2 April dan 5 Mei apabila pengundi menentukan wakil mereka di negeri dan pusat adalah “bertepatan” untuk mereka turun ke bawah dan menyesuaikan diri dengan penduduk kawasan itu dan menyuarakan idea.

Walau bagaimanapun, majoriti ahli politik daripada pembangkang Pakatan Rakyat (PR) tidak bersetuju.

“Terdapat pro dan kontra untuk tempoh panjang berkempen ini. 15 hari menyediakan lebih banyak masa, terutama bagi calon-calon baru untuk memperkenalkan diri mereka sendiri. Ia beri kelebihan kepada mereka kerana mempunyai masa yang mencukupi untuk orang ramai mengenali mereka dan menyuarakan dasar mereka.

“Kelemahannya pula ialah apabila terlalu lama, ia akan memakan kos wang yang lebih banyak dalam masa panjang itu,” kata Datuk Henrynus Amin, setiausaha agung Parti Bersatu Sabah (PBS), salah satu daripada 13 parti komponen BN kepada The Malaysian Insider.

Beliau menyokong tempoh masa yang panjang kerana ia memberi calon-calon masa secukupnya untuk menjelaskan rancangan mereka kepada rakyat dan menegaskan sesetengah kawasan di Sabah saiznya diukur hampir sama dengan negeri di tengah Semenanjung Malaysia, Pahang.

Rakan Henrynus, setiausaha Umno Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan menyuarakan pandangan sama.

Bekas ahli parlimen Kota Belud itu berkata tempoh 15 hari mencukupi untuk calon-calon, terutamanya mereka yang berada di di luar bandar seperti beliau, untuk turun melawat setiap kampung dan berkempen.

“Lagipun Malaysia telah dalam suasana berkempen sejak 2008,” kata Abdul Rahman.

Presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Yong Teck Lee juga menyatakan sentimen yang sama.

“Ya, dua minggu kempen mencukupi. Kempen telah bermula selama lima tahun lah,” kata bekas ketua menteri negeri yang telah bersama-sama berjuang dengan BN pada pilihan raya umum 2008 tetapi keluar daripada gabungan itu kemudiaannya.

Timbalan ketua pembangkang Parti Reformasi Negeri (STAR), Daniel John Jambun juga berkata penjadualan SPR “bertepatan” untuk semakan cepat kerana parti itu telah melakukan kerja dibawah sejak lima tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun Setiausaha DAP Sabah Dr Edwin Bosi merasakan walaupun 15 hari adalah “masa yang mencukupi untuk bekerja dan mendekati rakyat”, namun berpendapat pembangkang masih ketinggalan dibelakang memandangkan jentera parti kerajaan besar termasuk televisyen dan radio yang dikuasai dan memihak kepada BN.

Merentasi Laut Cina Selatan, rasa tidak puas hati tempoh dua minggu berkempen menjadi lebih jelas dikalangan ahli politik tiga parti PR.

“Ok, dua minggu berkempen. Tapi ia sepatutnya 21 hari seperti yang dituntut oleh Bersih,” kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kepada The Malaysian Insider yang merujuk kepada cadangan pemerhati pilihan raya kepada SPR yang juga disokong oleh jawatankuasa khas terpilih untuk reformasi parlimen pilihan raya.

Rakan politiknya dari PKR dan bekas ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar juga mengecam SPR kerana menetapkan hari mengundi pada Ahad.

“Ia tidak menghairankan, ia bukan seperti PR atau pembangkang yang mempunyai sebarang kuasa.

“Ia akan beri kesukaran kepada mereka di Kelantan dan Terengganu, Kedah,” katanya selepas sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam memberi reaksi segera selepas pengumuman tarikh pilihan raya oleh SPR pada 5 Mei.

Tidak seperti negeri lain di Malaysia, Ahad adalah hari bekerja bagi dua negeri dibawah PAS iaitu Kedah dan Kelantan, serta negeri BN di Terengganu. Hujung minggu jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu.

Tetapi tidak semua ahli-ahli politik pembangkang berkongsi pandangan yang sama, walaupun mereka dari parti yang sama.

Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari PAS melihat tempoh berkempen 15 hari sebagai tanda positif daripada SPR.

“Saya rasa wajar mengucapkan tahniah kepada SPR kerana memanjangkan hari untuk kita berkempen yang bermakna kita mendapat tempoh lebih lama untuk memaklumkan kepada pengundi tentang apa yang berlaku pada masa ini,” kata bekas ahli parlimen dari Perak itu semasa sesi rehat perbicaraan saman fitnahnya saman ke atas sebuah akhbar berbahasa Melayu di mahkamah di sini.

“Dengan 14, 15 hari tempoh kempen, ia lebih seperti kompromi antara kempen lapan hari biasa dan 21 hari yang kita diminta. Jadi saya fikir itu adalah satu petanda yang baik.”

Rakyat Malaysia akan membuat keputusan mereka pada 5 Mei sama ada untuk mengekalkan kuasa  BN yang telah memerintah tanpa gangguan sejak 56 tahun yang lalu, atau beralih ke satu gabungan baru iaitu PR.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi negeri dipertandingkan pada pilihan raya kali ini yang dianggap sebagai paling sengit dalam sejarah negara.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi