KUALA LUMPUR, 19 Okt ─ Kerajaan negeri Selangor tidak akan tunduk kepada tekanan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk memberi keutamaan kepada pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.
Sebaliknya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) berkata, kerajaan negeri mengulangi pendirian bahawa rundingan penstrukturan semula industri air Selangor harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum usaha pembinaan loji Langat 2 diteruskan.
“Adalah amat tidak bermoral bagi pihak-pihak tertentu untuk membuat kenyataan menakut-nakutkan rakyat kononnya krisis air akan berlaku pada 2014 jika Langat 2 tidak dibina dengan segera,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Jelas beliau, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah berulang kali mengatakan bekalan air mentah lebih dari mencukupi di kesemua tujuh empangan Selangor. “Motivasi pihak-pihak yang berkepentingan untuk membina loji ini seolah-olah adalah untuk menguntungkan golongan kecil serentak merugikan rakyat,” kata beliau.
Khalid berkata, jika ada masalah bekalan air, ia berpunca dari kekurangan bekalan air bersih yang disebabkan oleh kegagalan Syabas untuk menyediakan rezab air bersih yang mencukupi.
“Syabas tidak menjalankan penyelenggaraan terhadap loji-loji pembersihan dengan efektif serta gagal mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada tahap yang cukup rendah.
“Sebaliknya mereka terus menekan kerajaan negeri untuk membenarkan pembinaan Langat 2 seolah-olah ia dapat menyelesaikan masalah yang disebabkan oleh kelemahan mereka sendiri,” kata Khalid dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Menteri Besar menambah, kerajaan negeri hanya akan membenarkan Langat 2 dibina selepas kerajaan pusat menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air yang merupakan penyelesaian holistik serta menguntungkan rakyat seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.
“Bagi memastikan rakyat memahami hasrat kerajaan negeri, kami akan melancarkan fasa ketiga Kempen Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat yang akan membongkarkan usaha untuk membelakangan rundingan penstrukturan semula industri air negeri untuk keuntungan pihak yang berkepentingan,” katanya.
Khalid berkata, kempen fasa ketiga ini akan bermula dalam waktu terdekat dan lebih menyeluruh serta melibatkan semua pimpinan Pakatan Rakyat kerana isu ini melibatkan hak dan kepentingan rakyat.
“Bagi memastikan hak rakyat terpelihara, kerajaan negeri tidak akan membenarkan kenaikan tariff air seperti yang dipohon oleh Syabas untuk tahun hadapan.
“Kerajaan Negeri melantik juru audit bagi mengaudit operasi Syabas untuk menyemak dan mengesahkan kerja-kerja yang dilaksanakan Syabas seperti penggantian paip dan sebagainya,” katanya.
Katanya, kerja audit ke atas Syabas akan dilaksanakan oleh dua firma perakaunan antarabangsa iaitu Tetuan Atkins dan Tetuan Halcrow.






