Bahasa

Loke: SPR akan benarkan pengundian di luar negara pada PRU 13

KUALA LUMPUR, Nov 19 — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberikan “komitmen” untuk membenarkan pengundian di luar negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti, kata ahli parlimen (MP) Rasah, Anthony Loke (gambar) hari ini.

“SPR telah beri komitmen kepada rakyat Malaysia di luar negara untuk membenarkan mereka mengundi pada PRU Ke-13 nanti,” kata Loke kepada wartawan selepas selesai mesyuarat SPR dengan MP daripada kedua-dua belah parti hari ini.

Menurut Loke lagi, pihak SPR ketika ini dalam proses akhir untuk melaksanakan kaedah tersebut dan bakal membentangkan penggubalan terhadap peraturan pilihan raya sedia ada.

SPR mungkin akan membentangkan penggubalan dalam tempoh dua minggu ini memandangkan sesi terakhir Parlimen tahun ini akan berakhir pada minggu depan.

Salah satu syarat yang dicadangkan kepada pengundian luar negara ialah rakyat Malaysia tersebut perlu pulang ke negara sekali setiap lima tahun

SPR juga berkata mereka akan memberikan taklimat kepada parti politik di luar negara tentang mekanisma pengundian pada Disember ini, tambah Loke lagi.

Julai lalu, My Overseas Vote (MOV) berkata bahawa rakyat Malaysia di luar negara tidak mungkin dapat mengundi jika SPR tidak menggubal undang-undang terhadap pengundi berdaftar dan pengundi pos.

“Selagi SPR tidak menggubal peraturan, ia mustahil buat 95 peratus rakyat Malaysia di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi,” kata jawatankuasa bersama MOV, Andrew Yong memberitahu The Malaysian Insider, dengan berkata bahawa “kini terdapat sejuta rkayat Malaysia bekerja di luar negara dengan kebanyakkannya adalah pekerja sektor swasta.

MOV turut memberitahu terdapat ramai rakyat Malaysia di luar negara menunggu SPR untuk menggubal Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pengundi) 2002, dan Peraturan Pilihan Raya (Undi Pos) 2003 bagi membenarkan mereka mengundi pada PRU nanti.

Berdasarkan peraturan sedia ada, hanya penjawat awam, pegawai keselamatan dan pelajar Malaysia yang mengambil kursus sepenuh masa di luar negara dan berumur 21 dan ke atas dibenarkan mengundi.

Pada bulan sama, SPR meluahkan kekecewaan terhadap sambutan pendaftaran pengundi yang tinggal di luar negara dengan hanya 300-400 orang sahaja mendaftar hingga sekarang.

Pemimpin PR dan kumpulan aktivis Bersih 2.0 telah lama meminta daftar pengundi yang bersih menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Antara tujuh permintaan lain Bersih 2.0 adalah mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, minimum tempoh berkempen 21 hari, kebebasan media, memperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuan dan tamatkan politik kotor.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments