7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

LRT Aliran Putra tergendala akibat disambar petir

November 15, 2010

Perkhidmatan Aliran Putra terganggu hampir dua jam. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 15 Nov — Tren perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Aliran Rel Putra, yang tergendala sejak 4.30 petang tadi akibat sistem perkhidmatan itu disambar petir, kembali pulih kira-kira dua jam kemudian.

Jurucakap Pusat Kawalan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) berkata kejadian itu menyebabkan tren tidak berhenti di empat stesen bawah tanah iaitu Kampung Baru, Dang Wangi, KLCC dan Masjid Jamek.

“Kejadian ini disebabkan gangguan teknikal akibat hujan lebat dan sistem perkhidmatan disambar petir,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kerja pembaikan segera dilakukan dan tren itu kembali beroperasi seperti biasa pada kira-kira 6 petang.

Kejadian itu, yang berlaku ketika waktu puncak, menyebabkan ramai penumpang LRT terkandas di stesen-stesen berkenaan. — Bernama