Bahasa

Lynas: Peguam Pahang gesa Putrajaya lanjut tempoh kajian 12 bulan

April 24, 2011

KUALA LUMPUR, 24 April — Badan mewakili peguam-peguam Pahang menggesa kerajaan melanjutkan tempoh sebulan untuk kajian ke atas loji pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation sehingga setahun bagi mengadakan pemeriksaan terperinci berhubung keselamatan dan kesihatan awam akibat kesan radioaktif.

Pengerusi Peguam Pahang, Hon Kai Ping mengakui gesaan badan itu kemungkinan menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan tetapi menekankan, Putrajaya tidak seharusnya tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai isu keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Peguam Pahang berpandangan penelitian yang berhati-hati dan mendalam berhubung operasi nadir bumi sangat diperlukan dan keputusan tidak seharusnya diambil secara tergesa-gesa jika kerajaan serius berhubung kesihatan dan kebajikan rakyat Malaysia,” kata Hon dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, satu panel bebas akan ditubuhkan secepat yang mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Lima hingga tujuh pakar antarabangsa (IP) yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai, katanya.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai, dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Syarikat itu juga tidak dibenarkan untuk mengimport bahan mentah dari Australia sementara kerajaan membuat keputusan terhadap hasil kajian itu.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenai projek itu, katanya dan menambah, semakan semula akan dilakukan bagi memastikan pembinaan kemudahan itu mematuhi sepenuhnya standard keselamatan antarabangsa.

Mustapa berkata kesihatan dan keselamatan oramg ramai dan alam sekitar terus diutamakan oleh kerajaan.

Hon berkata, Peguam Pahang tiada terma rujukan mengenai panel yang dimaksudkan tetapi laporan media menunjukkan ia akan memfokus ke atas loji pemprosesan kendalian Lynas Corporation di Gebeng.

“Jika itulah kesnya, maka menteri sudah pasti tidak diberi taklimat mengenai program jelajah yang dianjurkan oleh SEDC Negeri di mana palar-pakar tempatan mengatakan kadar radioaktif torium pada bijih yang akan diimport adalah 0.16 peratus berbanding enam hingga lapan peratus yang ditunjukkan oleh beberapa laporan bebas kerajaan asing dan ini menjadi salah satu perkara utama penduduk Kuantan timbulkan ketika dialog awam (baru-baru ini).

“Jika terma rujukan IP hanya dihadkan kepada soal penelitian loji pemprosesan, adalah jelas aspek utama yang menjadi kebimbangan penduduk Kuantan tidak akan ditangani dan penemuan IP tidak akan mencapai tujuan,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, Peguam Pahang mahukan terma rujuan IP diperluaskan merangkumi aspek kadar torium bijih yang akan diimport, impak ke atas persekitaran dan industri pelancongan, jumlah kajian asas yang dikendalikan dan rumusan masing-masing, syarat-syarat ditetapkan oleh AELB, bukti proses seiringan bagi memastikan simpanan di Gebeng hanya bersifat sementara.

Badan itu juga meminta kesemua dokumen, kerajaan dan yang dikemukakan oleh Lynas ditunjukkan kepada orang awam dan pakar-pakar bebas yang dilantik oleh wakil penduduk Kuantan dan kumpulan lain panel berkenaan.

Oleh itu kata beliau, bagi membolehkan aspek-aspek berkenaan dikaji tempoh yang diperlukan ialah satu tahun.

Tambah beliau, cadangan Peguam Pahang itu kemungkinan akan menjejaskan pelancaran operasi loji Lynas dan kemungkinan menjejaskan imej negara tetapi apa yang penting ialah keselamatan rakyat adalah “sangat penting.”

Dalam kenyataannya semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan berkompromi dengan projek-projek yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat.

Najib berkata satu panel bebas yang akan dianggotai pakar akan membuat kajian berhubung soal keselamatan dan kesan kilang berkenaan.

“Kita telah putuskan, pertamanya kita tak akan kompromi dari segi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan dan kesihatan rakyat kita letak sebagai keutamaan yang tertinggi, bukan faktor kita hendakkan projek itu, tidak...,” katanya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi