Bahasa

Mahathir: Generasi sekarang perlu sedar kesan perang

KUALA LUMPUR, 13 Mei — Generasi masa kini amat perlu diberi kesedaran tentang kemusnahan yang diakibatkan oleh peperangan, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga akan menyedarkan mereka tentang betapa perlunya mereka berusaha sedaya upaya bagi mencegah berlakunya peperangan.

Katanya memandangkan pada tahun ini genaplah 65 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua yang berlarutan dari 1939 hingga 1945, maka peperangan paling dahsyat yang telah membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat manusia pada abad

ke-20 itu, perlulah dijadikan peringatan tentang betapa hodohnya peperangan.

“Perang itu meragut berjuta nyawa anggota tentera dan orang awam di seluruh dunia — Eropah, Asia, Amerika dan Afrika.

“Kita harap perang ini tidak akan berulang... walaupun ada cakap-cakap bahawa Perang Dunia Ketiga sedang dilancarkan oleh penjajah bentuk baru,” kata Dr Mahathir dalam ucapan beliau pada Persidangan Antarabangsa mengenai Perang Dunia Kedua dan Kebangkitan Multilateralisme di sini hari ini.

Ucapan beliau dibacakan seorang pegawai jawatankuasa penganjur persidangan itu.

Persidangan sehari itu dianjurkan World Future, sebuah portal politik Islam berpejabat di Malaysia dan dihadiri kira-kira 200 peserta.

Dr Mahathir berkata walaupun selepas Perang Dunia Kedua, banyak negara mencapai kemerdekaan, namun rakyat Palestin terus dinafikan hak mereka untuk berkerajaan sendiri apabila kuasa penjajah menodai negara mereka bagi mewujudkan negara Israel.

“Sebenarnya, mereka dipaksa supaya meninggalkan tanah air sendiri dan lebih malang lagi, mereka tidak dibenarkan merujuk kepada saki baki negara mereka sebagai Palestin,” katanya.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan bertajuk ‘‘Kebangkitan China Selepas Perang Dunia Kedua’’, Prof Albert Jansen dari Belanda berkata untuk julung kalinya dalam sejarah, dunia menyaksikan beberapa negara, khususnya

China, muncul sebagai kuasa ekonomi, tanpa melancarkan peperangan atau menindas negara lain, seperti yang dilakukan sesetengah negara sebelum ini.

“Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah, tapi jarang ditonjolkan oleh media,” katanya sambil menambah bahawa China juga tidak berniat untuk mengancam mana-mana negara.

Mengenai hubungan China-Afrika, Jansen berkata Beijing mengamalkan dasar saling membantu berdasarkan kedudukan sama rata, yang tidak diiringi strategi jangka panjang bagi menjadikan negara lain dibelenggu kemiskinan dengan cara yang boleh menyebabkan mereka dibebani hutang yang tidak mampu dibayar atau memeras sumber yang mereka miliki. — Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.