Bahasa

Mahfuz: Pengakuan bapa Saiful membolehkan pendakwaan kes Qazaf dilakukan

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 12, 2013

KUALA LUMPUR, 12 Mac — Pengakuan Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Mohd Saiful Bukhari berhubung insiden kes jenayah liwat yang melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya menjadi alasan yang kuat bagi Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan untuk memulakan pendakwaan kes Qazaf ke atas Saiful Bukhari di Mahkamah Syariah, kata Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Naib Presiden PAS itu menegaskan ianya selaraisdengan kuasa berkaitan pendakwaan yang termaktub di dalam Seksyen 181 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

“Pihak Ketua Pendakwa Syarie dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak perlu lagi berdolak dalik dan mencipta perbagai helah untuk tidak mendakwa Saiful Bukaari di atas kesalahan Qazaf,” tegas Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, bapa kepada Saiful tampil ke hadapan mengakui kes liwat kedua yang melibatkan anaknya dengan ketua pembangkang sebuah “konspirasi politik jahat” untuk memburukkan nama pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) tersebut.

Azlan Mohd Lazim, 60, dalam satu sidang media tertutup juga mendedahkan kes liwat tersebut telah dirancang rapi oleh seorang pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri sejak awal pendedahan kes liwat kedua tersebut.

“Ini adalah konspirasi politik jahat untuk membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kali kedua,” kata Azlan kepada pemberita.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Pokok Sena ini menggesa agar ketua pendakwa syarie segera mengenakan pertuduhan Qazaf terhadap Saiful atas aduan Anwar sebelum ini.

“Saya mendesak supaya Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Perkutuan mengenakan suatu pertuduhan Qazaf ke atas Saiful Bukhari Azlan di atas aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar sebelum ini.”

Anwar pada 7 Januari tahun lalu telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 24.

Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar, 63, menamakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam wilayah, Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom sebagai responden.

Anwar memohon perintah mahkamah mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasanya yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Saiful dan menghalang Che Mat dan Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi