KUALA LUMPUR, 30 Julai — Mahkamah Tinggi yang bersidang hingga malam ini membenarkan anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary, Syed Gamal menjadi pentadbir harta pusaka yang bernilai RM400 juta bersama-sama ibu dan dua adik perempuan tirinya.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Swee Seng selepas mendengar hujah lisan daripada kesemua pihak sehingga 7.45 malam.
“Selepas mendengar hujah-hujah yang diberikan saya membenarkan supaya Syed Gamal mentadbir harta pusaka yang ditinggalkan ayahnya bersama ibu dan dua adik tirinya.
“Saya tidak letakkan kos bagi setiap orang kerana ini adalah masalah keluarga, jadi jika ada lebihan daripada harta tersebut dermakan kepada rumah-rumah kebajikan sebagai amal jariah,” katanya ketika mengumumkan keputusan tersebut kira-kira 8.15 malam tadi.
Semalam, Lee memerintahkan kesemua pihak yang terbabit dalam pertikaian itu memfailkan kenyataan saksi dalam bentuk afidavit, serta mengemukakan hujah lisan sebelum beliau membuat keputusan.
Sesi mengemukaakn hujah bermula selepas 3 petang tadi.
Mahkamah mendengar permohonan siapa yang layak mentadbir harta peninggalan jutawan berkenaan, sama ada anak lelaki Syed Kechik menerusi perkahwinan pertamanya iaitu Syed Gamal, atau isteri keduanya Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan dua anak perempuan mereka iaitu Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.
Mahkamah sepatutnya memutuskan semalam permohonan kaveat Syed Gamal terhadap keluarga tirinya bagi menghalang mereka menguruskan harta pusaka itu tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.
Selain Pawancheek Marican, Syed Gamal diwakili Zulkifli Che Yong dan Azmi Mohd Rais manakala peguam Steven How Chee Hong dan Uma Parvathy mewakili Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.
Lee juga menyarankan agar kedua-dua pihak iaitu Syed Gamal dan keluarga tirinya patut mula bekerjasama ke arah masa depan mereka.
“Saya harap kedua-dua pihak boleh mulakan proses pendamaian kerana ini adalah keluarga. Lupakan perkara lama.
“Apa yang ditinggalkan Syed Kechik adalah banyak dan ia tidak terhad kepada anak-anak tetapi juga cucu dan ada lebihan lagi.
“Jika ada sebarang masalah yang timbul boleh datang ke mahkamah untuk menyelesaikannya,” katanya.
Kesemua keluarga tiri Syed Gamal tidak hadir di prosiding kes itu hari ini.
“Kalau Syed Kechik masih hidup apa yang beliau akan buat?
“Saya percaya Syed Kechik tidak tinggalkan banyak harta untuk melihat anak-anaknya bergaduh,” kata Lee.
Sementara itu, Syed Gamal ketika ditemui selepas prosiding kes itu berkata segala nasihat yang diberikan Lee akan dijadikan panduan untuk memperbaiki hubungan dengan keluarga tirinya.
“Saya gembira dengan keputusan ini kerana ia adil dan saya akan berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan keluarga tiri.
“Saya juga akan pastikan segala yang ditinggalkan ayah boleh digunakan dengan sebaik mungkin demi masa depan keluarga,” katanya.
Pawancheek berkata pihaknya akan mendapatkan surat perintah pentadbiran daripada mahkamah untuk menukar nama.
“Sebelum ini hanya tiga pihak sahaja yang jadi pentadbir iaitu ibu dan dua adik perempuan tiri Syed Gamal, jadi lepas keputusan ini kita akan mendapatkan surat perintah tersebut.
“Selepas kita dapat surat perintah itu baru boleh tukar nama kepada empat orang untuk jadi pentadbir bersama,” katanya.
Dalam permohonan yang difailkan 14 April lalu, Syed Gamal, yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik, mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka itu.
Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.
Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang bilionair yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.
Syed Gamal, 46, membuat permohonan itu berikutan tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka.
Dalam petisyen yang difailkan pada 15 Sept tahun lepas, mereka memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang, kerana Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat.







