Bahasa

Mahkamah perintah bekas KP Imigresen bela diri kes rasuah RM60 ribu

Oleh Md Izwan
April 02, 2013

KUALA LUMPUR, 2 April — Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya mengarahkan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don untuk membela diri ekoran menerima suapan rasuah bernilai RM60 ribu pada tahun 2008 lalu.

Hakim Datuk Sri Abu Samah Nordin ketika membacakan keputusan yang dibuat bersama Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh dan

Datuk Azhar Mohammad telah memerintahkan Wahid untuk membela diri di Mahkamah Sesyen pada 16 April ini.

Abu Samah juga berkata keputusan tersebut mengambilkira bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dengan membuat keputusan melepas dan membebaskan tanpa mendengar pembelaan tertuduh serta anggapan Seksyen 42 Akta Pencegahan Rasuah

1997 terpakai di mana Responden perlu menyangkal anggapan tersebut.

Hakim juga bersetuju dengan fakta pihak pendakwaan bahawa responden telah menerima wang tersebut dan ianya dianggap sebagai wang rasuah.

Wahid, 58, didakwa menerima suapan RM 60,000 pada tahun 2008 daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran meluluskan permohonan bagi 4,337 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia.

Terdahulu pada 15 Oktober 2010 lalu, hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rosbiahanin Ariffin memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie keatas tertuduh.

Beliau kemudian didakwa dibawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila menerima wang tersebut sebagai bayaran upahnya pada 10 Julai, jam 10.15 malam di rumahnya, Jalan Lembah Ledang, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Sepanjang perbicaraan bermula 17 Ogos 2010, seramai 40 saksi telah dipanggil, termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan beberapa ejen pekerja asing.

Wahid, 59, telah bersara dari perkhidmatan awam sejak setahun lalu, diwakili oleh peguamnya V. Sithambaram.

Manakala pihak pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi