Bahasa

Mahkamah tolak saman Umno Selangor ke atas Abdul Hadi, Mat Sabu

April 13, 2012

SHAH ALAM, 13 April — Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos tuntutan saman RM10 juta Umno Selangor ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Mohamad Sabu di atas alasan saman tersebut bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Umno Selangor melalui Setiausahanya, Ir Datuk Seri Mohd Zin Mohamed memfailkan writ saman ke atas Abdul Hadi dan Mohamad serta beberapa individu lain bagi menuntut ganti rugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor dalam artikel yang disiarkan Harakah.

Saman itu dibuat berhubung dakwaan bahawa parti itu mendalangi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) pada 3 Ogos lalu.

Artikel itu bertajuk 'PAS akan dedah bukti, Umno main peranan operasi JAIS'.

Artikel tersebut diterbitkan pada edisinya bertarikh 19 Ogos 2011 yang lalu.

Abdul Hadi dan Mohamad kemudiannya telah memfailkan Saman Dalam Kamar di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a)  Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 bagi membatalkan saman Umno Selangor tersebut.

Selain Abdul Hadi dan Mohamad, Umno Selangor turut menamakan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd; penyunting akhbar berkenaan, Ahmad Lutfi Othman; dan wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad; selaku defendan.

Dengan keputusan ini, hanya tinggal tiga lagi defendan dalam kes saman Umno Selangor ini.

Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin ketika menolak tuntutan Umno Selangor tersebut bersetuju dengan hujah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Abdul Hadi dan Mohamad bahawa saman ke atas kedua-dua individu itu gagal mendedahkan apa-apa klausa tindakan kerana ia bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.

Di dalam hujah lisannya Hanipa berhujah perkataan 'any office bearer (mana-mana pemegang jawatan) di dalam seksyen 9 (c) akta tersebut bermaksud hanya seorang pemegang jawatan di dalam PAS yang boleh di saman maka tindakan Umno Selangor yang menamakan lebih dari seorang pemegang jawatan PAS tersebut adalah secara jelas satu penyalahgunaan proses Mahkamah kerana ia melanggar seksyen 9(c) Akta tersebut.

Saman Umno Selangor tersebut telah difailkan oleh peguam Umno iaitu Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak manakala Abdul Hadi dan Mohamad diwakili oleh Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi