Majikan digesa beri peluang kerja kepada penghidap HIV
Presiden Majlis Aids Malaysia (MAM) Datuk Dr Raj Karim berkata stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap penghidap HIV pada masa kini masih tebal sehingga menyukarkan golongan itu mencari kerja.
"Diskriminasi terhadap penghidap HIV selama ini menyebabkan mereka tertindas dalam segenap aspek kehidupan khususnya dalam menikmati peluang pekerjaan sedangkan mereka juga berhak menempatkan diri dalam sektor pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran mereka.
"Tidak ada sebab untuk singkirkan mereka kerana mereka juga boleh bekerja sebagus orang lain dan tiada halangan untuk mereka menjadi produktif," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Pemperkasaan Orang Yang Hidup dengan HIV, di sini hari ini.
Program tiga hari anjuran MAM, Malaysia Network of People Living With HIV (MyPlus) dan MAC Cosmetics itu bertujuan mengasah bakat 30 penghidap HIV menjadi jurucakap bagi memperjuangkan isu berkaitan HIV dan Aids. Ia sebelum ini diadakan pada April dan Jun lepas.
Dr Raj berkata tiada peluang pekerjaan serta tidak mendapat perhatian dan sokongan masyarakat menyebabkan ada antara mereka kembali terjerumus dalam aktiviti tidak sihat dan menimbulkan lebih banyak masalah sosial.
Dalam pada itu, Norashid Md Said, 38, sukarelawan 'Needle and Syringe Exchange Programme', menasihatkan penghidap HIV supaya tidak putus harapan meskipun dicemuh masyarakat.
Menghidap HIV akibat perkongsian jarum, beliau bagaimanapun bersyukur apabila keluarga menerima dan memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan hidup selain berhenti terus daripada mengambil dadah jenis heroin.
"Saya dimasukkan ke pusat serenti pada 2003 dan di situ saya disahkan menghidap HIV akibat berkongsi jarum suntikan. Saya berkahwin selepas keluar dari pusat itu tiga tahun kemudian.
"Saya nekad berhenti terus daripada menagih dadah sejurus isteri saya mengandung di tambah dengan doa ibu yang tidak putus-putus," katanya yang kini mempunyai tiga anak yang bebas HIV. — Bernama




