Bahasa

Majlis agama bukan Islam kecam tindakan serbu gereja, sifatkan ‘contoh bahaya’

Hasan mendakwa perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan pada ucapan di majlis makan malam tersebut. — Foto failHasan mendakwa perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan pada ucapan di majlis makan malam tersebut. — Foto failKUALA LUMPUR, 8 Ogos — Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama ketika berlangsungnya majlis makan malam muhibah Rabu lalu dengan menegaskan, ia melanggar kebebasan rumah ibadat yang dijamin Perlembagaan.

Badan wakil agama bukan Islam itu juga menegaskan, Jais telah memperlihatkan satu contoh bahaya, yang wajar dihentikan dan dikritik oleh kesemua pihak yang mencintai keamanan.

“Kesucian tempat-tempat ibadat yang dijamin Perlembagaan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa tidak boleh dikompromi dan pelanggaran yang tidak pernah berlaku seperti ini mesti disiasat dan mereka yang bertanggungjawab pula seharusnya dikenakan hukuman,” kata majlis itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao berkata pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid lbrahim, Timbalan Pengerusi Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia Prof. Datuk Hamdan Adnan, Presiden Persekutuan Kristian Malaysia Biskop Datuk Ng Moon Hing dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Rev Dr Hermen Shastri berhubung isu itu minggu lalu.

“Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao  tersentuh dengan tindakan segera diambil Tan Sri Khalid lbrahim dan kerajaan negeri Selangor dalam tindakan Jais ini,” kata majlis tersebut yang turut menyambut baik kenyataan Khalid yang mengatakan kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada penyertaan bersama dan dialog berhubung isu-isu menyentuh keharmonian dan rasa hormati satu sama lain.

Kata majlis itu, pihaknya juga tertanya-tanya bagaimana penggunaan kalimah “al-Quran” dan “doa” dalam ucapan boleh membawa kepada umat Islam murtad sedangkan perkataan-perkataan ini digunakan setiap hari oleh rakyat Malaysia.

Sebaik sahaja isu itu muncul Khalid berkata kerajaan negeri kesal dengan tindakan tersebut dan mahukan satu laporan daripada Jais.

Pada hari yang sama, Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan Jais atas alasan ada bukti mahu memurtadkan umat Islam.

Hasan menegaskan maklumat yang beliau terima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan kalimah perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan pada ucapan di majlis itu.

Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Sejak itu tindakan isu tersebut mendapat reaksi belah bahagi daripada pertubuhan Islam dan bukan Islam.

Menyentuh laporan dua akhbar edisi Ahad semalam, yang menggambarkan umat Islam dipujuk menganut agama lain, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao berkata, kerajaan perlu menyiasat perkara tersebut memandangkan ia tidak menyenaraikan identiti ataupun memberi asas bagi dakwaan sedemikian

“Saksi-saksi sedemikian seharusnya disediakan bagi satu inkuiri bebas, yang wajarnya diadakan dengan segera bagi menentukan kesahihan saksi,” kata majlis lagi.

Justeru kata majlis, sekiranya laporan akhbar berkenaan didapati tidak benar, maka pihak berkuasa sewajarnya mengambil tindakan sewajar di bawah peruntukan undang-undang.

“Kesemua 120 tetamu yang menghadiri majlis makan malan muhibah pelbagai kaum wajar mendapatkan permohonan maaf daripada pihak-pihak yang melakukan serbuan.

“Kerajaan semasa juga mesti tampil untuk memastikan komuniti-komuniti bukan Islam tindakan sedemikian tidak akan berulang lagi,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao berkata, pihaknya perlu menekankan tentang usaha sistematik dan terdesak sesetengah pihak yang berkuasa sejak kebelakangan ini mencetuskan konflik di kalangan rakyat berlainan kaum dan agama.

Katanya, ada pelbagai contoh sejak awal tahun iaitu isu Interlok, Alkitab dan kononnya ada usaha mahu menjadikan Kristian agama rasmi negara serta penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan sekumpulan ahli dan penyokong Parti Sosialis Malaysia kononnya mahu mengadakan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong tetapi kemudian ditahan di bawah Ordinan Darurat.

“(Kini) dakwaan tidak berasas terhadap gereja mahu memurtadkan umat Islam. Tindakan-tindakan tidak berasas ini mesti dihentikan bagi mempertahankan keamanan dan keharmonian antara kaum yang wujud setengah setengah abad ini,” kata majlis ini lagi.

Dalam kenyataannya, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao juga mengesyorkan agar pemimpin kesemua agama menjadikan setiap Jumaat, mulai 16 Ogos hingga 16 September ini,  sebagai hari untuk berdoa di rumah ibadat masing-masing untuk mencari persefahman, kebenaran dan perasaan menghormati satu sama lain.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.