Bahasa

Majoriti masyarakat Melayu kata ‘Allah’ hanya untuk Islam, lapor kaji selidik

Oleh Md Izwan
February 26, 2013

Daripada tinjauan keatas 1,021 orang pengundi yang ditemui atau dihubungi Merdeka Center mendapati sebanyak 83 peratus berkata kalimah suci tersebut milik penganut beragama Islam, ia sama sekali berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membuat keputusan sebaliknya.

Walaubagaimanapun, hasil kajian oleh badan penyelidik tersebut mendapati bukan semua penganut Muslim-Melayu bersetuju dengan gesaan Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali supaya membakar Injil yang mengandungi kalimah "Allah", hanya 34 peratus bersetuju tetapi 52 peratus yang lain menolak dengan keras seruan tersebut.

Kemelut perebutan kalimah "Allah" kali pertama timbul sekitar awal tahun 1980an apabila kementerian dalam negeri dibawah pentadbiran Dr Mahathir ketika itu mengambil langkah untuk mengharamkan penghantaran kitab Injil berbahasa Melayu daripada Indonesia ke dalam negara.

Kemuncak isu tentang kalimah "Allah" kembali diperkatakan semula selepas sambutan Perayaan Hari Natal tahun lalu, apabila penganut Kristian meminta Putrajaya untuk membenarkan kalimah suci tersebut digunakan dalam kitab Injil berbahasa Melayu tetapi kumpulan kedua berhujah penggunaannya perlu eksklusif kepada mereka atas alasan bahawa Islam adalah monoteistik dan perkataan "Allah" bermaksud tuhan kepada orang Islam.

Isu kalimah "Allah" tersebut berlanjutan dan terkini yang menjadi kontroversi adalah ugutan oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim yang menggesa umat Islam untuk membakar kitab Injil berbahasa Melayu sehinggakan mengundang pelbagai kritikan daripada pemimpin politik Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat, aktivis serta pengamal undang-undang.

Malahan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengambil langkah yang tidak disenangi oleh penganut agama tersebut apabila mengeluarkan teks rasmi khutbah Jumaat yang menegaskan kalimah "Allah" tidak terdapat dalam Injil mahupun Taurat, serta mengingatkan umat Islam supaya menolak tuntutan penganut Kristian yang mahu menggunakan perkataan Arab itu di dalam kitab mereka.

Selain itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 mengatakan perkataan "Allah" tidak terhad kepada orang Islam dan Gereja Katolik mempunyai hak untuk menerbitkan perkataan dalam seksyen bahasa Melayu akhbar mingguan itu, Herald.

Penghantaran Alkitab, kitab Injil dalam bahasa Melayu kepada Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Melayu telah disekat atau dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan akhirnya tunduk kepada tekanan dan membebaskannya pada tahun 2011.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi