7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Malaysia, Australia meterai perjanjian tukar pencari suaka

TERKINI @ 03:14:21 PM 25-07-2011
July 25, 2011

Hishammuddin dan Bowen (kanan) memeterai perjanjian berkaitan pencari suaka di Kuala Lumpur hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 25 Julai — Malaysia dan Australia menandatangani perjanjian berkaitan pencari suaka meskipun berhadapan dengan bantahan dan kritikan daripada pertubuhan hak asasi manusia di kedua-dua negara.

Di bawah perjanjian yang diumumkan Mei lalu, Canberra dan Putrajaya telah bersetuju untuk menghantar 800 pencari suaka yang tiba di perairan Australia ke Malaysia untuk tujuan pemprosesan.

Perjanjian kedua-dua negara dimeterai di Kuala Lumpur tengah hari ini.

Malaysia diwakili oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein manakala Australia pula diwakili Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan, Chris Bowen.

Australia akan menghantar 800 pemohon suaka dan menerima 4,000 pelarian sedia ada di negara ini sepanjang empat tahun akan datang dan melibatkan kos hampir RM1 bilion.

Perjanjian itu yang dikecam oleh Parlimen Australia dilihat sebagai usaha yang akan menaikkan populariti Perdana Menteri Julia Gillard dan kerajaan Parti Buruh yang ketinggalan di belakang.

Parlimen Australia dijangka mencela Gillard ekoran perjanjian dengan Malaysia, yang bukan merupakan negara menerima konvensyen PBB mengenai status pelarian.

Hishammuddin berkata Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 sebab ia tidak mampu menawarkan akses peluang pendidikan, pekerjaan, keselamatan dan makanan kepada pelarian memandangkan rakyat Malaysia juga memerlukan bantuan dalam aspek-aspek ini.

Menurut Hishammuddin, kini ada seramai 84,000 pelarian di negara ini, kebanyakannya dari Myanmar.

“Ini menunjukkan bahawa meskipun (Malaysia) bukan sebahagian daripada konvensyen, ia masih merupakan destinasi bagi sebahagian pelarian yang merasakan negara ini selamat bagi mereka,” kata Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno.

Kedua-dua menteri mengisytiharkan bahawa langkah hari ini merupakan langkah pertama ke arah agenda dua hala untuk mengatasi masalah pemerdagangan manusia.

Dalam pada itu, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan menyamakan perjanjian antara kedua-dua negara sebahagian kerja pemerdagangan manusia.

“Keseluruhan pertukaran adalah (tindakan) memperdagangkan manusia. Pelarian kini menjadi komoditi yang dijual pada harga 300 juta dolar. Ini tidak boleh diterima sama sekali,” kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Dr Irene Fernandez ketika protes di luar hotel Mandarin Oriental di sini.

Perjanjian itu ditandatangani di hotel tersebut.

“Aspek lain ialah kurangnya ketelusan dalam perjanjian ini dimeterai,” kata beliau.