Bahasa

Malaysia dan AS saling menerima dan menghormati

July 10, 2012

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa penghargaan terhadap ikatan yang kuat dalam hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat, yang berdasarkan sifat penerimaan dan saling hormat-menghormati terhadap perbezaan di antara kedua-dua negara.

“Di samping berusaha untuk mengenal pasti objektif sepunya kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri dalam laman Facebooknya hari ini.

Najib berkata beliau yakin bahawa “perhubungan yang saling memanfaati satu sama lain ini akan mendorong kepada kemajuan dan pencapaian matlamat kemajuan bagi dekad yang lalu, akan terus memanfaati satu sama lain bagi dekad-dekad akan datang.”

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai lawatan dua senator Amerika Syarikat yang terkemuka, Senator John McCain dan Senator Joe Liberman ke Putrajaya pada bulan lepas.

Katanya kedua-dua senator itu telah memberikan ulasan yang amat baik terhadap Malaysia, terutamanya dalam usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) mentransformasikan keadaan ekonomi, politik dan sosial negara.

“Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan untuk semua – pencapaian yang merangkumi usaha-usaha dan kerjasama antara semua rakyat, dan telah mendapat iktiraf rakan-rakan kita dari negara luar,” katanya.

Najib juga berkata lawatan kedua-dua senator itu turut memperlihatkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang kekal erat dan terikat oleh nilai-nilai dan kepentingan strategik yang dikongsi bersama.

“Dari segi ekonomi, mereka terus menjadi salah satu daripada rakan perdagangan yang terbesar bagi Malaysia, iaitu berjumlah sehingga RM127 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata terdapat lebih daripada 600 badan perniagaan dari Amerika Syarikat yang beroperasi di Malaysia, dan ramai lagi berminat untuk melabur di Malaysia tahun ini.

Beliau juga berkata perkongsian ilmu juga turut merupakan aspek penting dalam hubungan antara kedua-dua negara, dan sebagai contoh, pengenalan kepada reformasi pendidikan negara baru-baru ini bagi menyelesaikan kadar keciciran, telah diilhamkan dari Amerika Syarikat.

Perdana Menteri berkata selain itu, pasukan sukarelawan Amerika Syarikat, melalui  Peace Crops Organisation, telah menjalankan pelbagai kerja amal dalam membantu menambah rezeki rakyat negara ini.

“Usaha ini bermula semenjak 50 tahun lalu, di mana ayahanda saya Allayarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua) telah memberi sambutan kepada 36 sukarelawan. Jumlah ini terus berkembang,” kata Najib.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 3,500 sukarelawan dari Amerika Syarikat telah berkhidmat dan berkerjasama dengan rakyat Malaysia untuk menambahbaik kehidupan mereka.

Malaysia juga mempunyai banyak yang boleh ditawarkan kepada Amerika Syarikat dan dunia, termasuk model agama Islam yang mengamalkan kesederhanaan, katanya.

Beliau berkata model itu adalah suatu pendorong untuk kebaikan, dan kerana kebaikan inilah “saya membuat keputusan untuk menubuhkan Pergerakan Moderat Global di mana semua agama bersatu dalam satu suara untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu yang membelenggui dunia.”

Najib berkata di dalam negara pula, falsafah yang berpandukan kepada 1Malaysia telah membolehkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama untuk bergerak bersama mengejar impian dan aspirasi sebagai satu bangsa.

“Dan ianya merupakan satu falsafah yang saya harap semua rakan-rakan masyarakat antarabangsa kita dapat mengambil pengajaran daripadanya,” katanya.

Najib berkata keunikan budaya dan sejarah negara telah menjadikan Malaysia sepertimana sekarang ini, dan begitu jugalah dengan negara-negara barat yang berjuang untuk mempertahankan tradisi masing-masing.

“Oleh itu, kita akan sentiasa berpendirian teguh terhadap prinsip dan nilai fundamental kita,” katanya. – Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi