Bahasa

Malaysia layak ke separuh akhir Piala Axiata 2013

March 31, 2013

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Skuad badminton negara layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 selepas mengutip empat mata penuh pada perlawanan menentang Vietnam di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras di sini semalam.

Malaysia kini di tangga kedua dengan 18 mata di belakang Indonesia yang mengutip 19 mata. Pada perlawanan akhir pusingan kedua esok Malaysia akan bertemu Pilihan Asia.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan hari ini, ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek berkata Malaysia akan memberi saingan terbaik esok sekalipun telah layak ke separuh akhir.

“Saya berharap mereka akan memperoleh mata penuh esok,” katanya.

Bagaimanapun kata Rashid beliau mungkin menggantikan Chong Wei Feng dengan Liew Darren esok bagi mencerahkan peluang Malaysia mengutip mata.

Pada perlawanan semalam, Malaysia mengutip mata pertama menerusi Sonia Cheah yang mengatasi Vu Thi Trang dengan 21-11, 18-21 dan 21-11.

Rentak kemenangan Malaysia diteruskan Wei Feng yang berjaya mengekang kehebatan Nguyen H N dengan skor 21-16 dan 21-13.

Beregu campuran kebangsaan Tan Boon Heong dan Lim Yin Loo menyumbang mata ketiga negara apabila mengalahkan Duong Bao Duc dan Thai Thi Hong Gan 22-20, 17-21 dan 21-7.

Malaysia memperoleh mata kemenangan penuh apabila beregu lelaki nombor tujuh negara Tan Wee Keong dan Hoon Thien How menundukkan pasangan Huynh N K dan Bao Minh dengan 21-7 dan 21-12.

Piala Axiata 2013 yang menawarkan hadiah keseluruhan US$1 juta (RM3.1 juta)disertai lapan pasukan dengan empat yang mengumpul mata tertinggi akan ke separuh akhir.

Juara bakal membawa pulang US$400,000 (RM1.24 juta) manakala naib juara menerima US$200,000.

Pasukan di tempat ketiga dan keempat masing-masing bakal menerima habuan US$150,000 dan US$100,000. – Bernama  

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi