Bahasa

Malaysia perlu pertingkat sistem pertahanan, kata Hishammuddin

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengatakan Malaysia membuat keputusan berani mengetepikan kepentingan dan keselamatan negara apabila mendedahkan sebahagian maklumat sulit radar ketenteraan pada peringkat awal misi mencari dan menyelamat, dan sistem pertahanan negara perlu ditingkatkan. – Gambar The Malaysian Insider, 14 April, 2014.Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengatakan Malaysia membuat keputusan berani mengetepikan kepentingan dan keselamatan negara apabila mendedahkan sebahagian maklumat sulit radar ketenteraan pada peringkat awal misi mencari dan menyelamat, dan sistem pertahanan negara perlu ditingkatkan. – Gambar The Malaysian Insider, 14 April, 2014.

Wujud keperluan untuk menaik taraf sistem pertahanan negara bagi memperkukuh kawalan keselamatannya pada masa depan susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, langkah itu perlu selepas ada keperluan mendedahkan maklumat sulit radar ketenteraan dalam pencarian pesawat yang hilang pada 8 Mac lepas.

"Kita membuat keputusan berani dengan mengetepikan kepentingan dan keselamatan negara apabila mendedahkan sebahagian maklumat sulit radar ketenteraan pada peringkat awal misi mencari dan menyelamat.

"Situasi sekarang menuntut kita melihat semula keperluan kita pada masa depan dan lebih penting kita juga melihat dalam konteks rantau Asean sebagai satu kumpulan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Global Komited Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Weststar Group of Companies and Thales UK hari ini. 

MoU yang bertujuan mempromosi, memasar dan mengedar pelbagai jenis sistem pertahanan udara berpangkalan di bumi kepada Angkatan Tentera Malaysia itu dimeterai di Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014.

Menjawab satu soalan, Hishammuddin berkata teknologi pengawasan ialah antara bidang yang diteliti berikutan tragedi MH370.   

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac.

Pesawat sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Analisis data satelit menunjukkan pesawat yang melencong ribuan kilometer daripada haluan sebenar, terbang di sepanjang laluan dikenali sebagai koridor selatan ke Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Pencariannya kini bertumpu di situ.

Hishammuddin berkata negara anggota Asean tidak berupaya menangani ancaman pada masa depan secara bersendirian.

"Kita perlukan kreativiti dalam pendekatan kita, bekerja lebih rapat ke arah mencegah ancaman yang mungkin menjejaskan kawalan keselamatan rantau kita," katanya.

Beliau menegaskan matlamat akhir industri pertahanan bukan sekadar mencari keuntungan tetapi juga menjadikan dunia ini lebih aman.

Mengenai DSA 2014, beliau berkata program diadakan kena pada masanya memandangkan semua perkakasan berkaitan dihimpun di bawah satu bumbung.

Terdahulu Hishammuddin meninjau gerai pameran yang disifatkan sebagai pameran pertahanan terbesar Asia.

Pameran berlangsung bermula hari ini hingga 17 April di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – Bernama, 14 April, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.