Bahasa

Malaysia sedia hadapi cabaran Piala Sudirman 2013, kata Chong Wei

KUALA LUMPUR, 15 April — Kejayaan merangkul Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 buat pertama kali telah membakar semangat skuad negara menghadapi Kejohanan Piala Sudirman 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil, bulan depan.

Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) menyifatkan kemenangan ke atas Thailand 3-1 pada final malam tadi telah menyuntik semangat skuad negara untuk memburu sekurang-kurangnya tempat ke separuh akhir Piala Sudirman.

Malaysia akan menjadi tuan rumah buat pertama kali kejohanan campuran dunia edisi ke-13 dari 19 hingga 26 Mei ini.

Sejak diperkenalkan pada 1989, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan dwitahunan itu ialah separuh akhir pada edisi 2009 di Guanzhou, China.

“Kita akan membuat persiapan terbaik bagi menghadapi cabaran pada kejohanan Piala Sudirman,” kata Chong Wei, yang juga pemain nombor satu dunia, selepas membantu skuad negara menjulang trofi Piala Axiata di sini.

Chong Wei berkata skuad negara perlu meningkatkan lagi aspek kecergasan dan semangat berpasukan serta perlu mengelak daripada sebarang kecederaan yang boleh mengganggu prestasi mereka.

“Apa yang penting sekarang, anggota pasukan perlu saling memberi dorongan dan sokongan. Dengan adanya beberapa lagi kejohanan lain yang bakal disertai, saya harap ia cukup sebagai persediaan rapi buat pasukan kita,” katanya.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata Malaysia akan membariskan 20 pemain untuk Piala Sudirman.

Pada saingan Piala Sudirman, terdapat lima perlawanan bagi setiap pusingan iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita dan beregu campuran. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments