Bahasa

Malindo Airways bukan ancaman kepada AirAsia, kata Fernandes

September 11, 2012

KUALA LUMPUR, 11 Sept — Ketua Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes mengalu-alukan pembentukan syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Malaysia, Malindo Airways, dan ia bukannya satu ancaman kepada kepada AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia.

Beliau berkata pembentukan Malindo Airways jelas menunjukkan kepentingan yang kian meningkat syarikat penerbangan tambang rendah dalam industri penerbangan global, terutamanya di Malaysia dan rantau Asean, seiring dengan Dasar Langit Terbuka Asean, yang akan berkuat kuasa pada 2015.

“Saya mengalu-alukan penubuhan Malindo Airways. AirAsia sentiasa mahu Asean dibuka. Ini adalah langkah yang baik,” kata beliau kepada Bernama.

Fernandes sekali lagi menolak dakwaan yang Malindo Airways akan memaksa AirAsia tunduk kepada tekanan ekoran saingan sengit di Indonesia.

Beliau berkata, rangkaian meluas AirAsia di rantau Asia tidak akan terancam oleh syarikat penerbangan itu ataupun rakan-rakan usaha sama Malindo Airways.

“Syarikat penerbangan baharu itu bukanlah isu untuk kami di AirAsia. Kami telah bersaing di negara seperti Malaysia yang mempunyai syarikat penerbangan yang kukuh seperti Malaysia Airlines (MAS).

“Kami juga mempunyai pasukan yang kuat untuk AirAsia, AirAsia X dan AirAsia Indonesia. Saya bangga dengan apa yang kami ada dan kami akan terus berkembang.

“Kami kini membina satu jenama global dan saya tidak rasa sesuatu seumpama ini akan memperlahankan aktiviti kami,” tambah Fernandes yang kini berpangkalan di Jakarta untuk memantau operasi rantau Asean AirAsia.

AirAsia Malaysia kini diketuai oleh Aireen Omar.

National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan PT Lion Grup hari ini memeterai perjanjian usaha sama untuk membentuk Malindo Airways yang akan memulakan operasi pada 1 Mei di KLIA2 di Sepang.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malindo Airways dijangka menawarkan tambang rendah, malah lebih rendah berbanding AirAsia, selain daripada sistem hiburan dalam penerbangan dan saling hubung dalam penerbangan dalam kesemua pesawatnya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi