Bahasa

Mandat besar penting untuk BN majukan Negara, kata Najib

May 03, 2013

 

Najib berkata BN memerlukan mandat yang besar daripada rakyat untuk merealisasikan kemajuan untuk Malaysia. - Gambar oleh Choo Choy MayNajib berkata BN memerlukan mandat yang besar daripada rakyat untuk merealisasikan kemajuan untuk Malaysia. - Gambar oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 3 Mei — Mandat yang besar daripada rakyat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ini penting untuk membolehkan kerajaan merealisasikan wawasan untuk menjadikan Malaysia negara maju tercapai dalam tempoh tujuh tahun lagi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Perdana Menteri berkata mandat itu perlu diberikan berdasarkan merit BN sendiri dalam usahanya memajukan negara.

“Bukan sahaja kita memerlukan mandat yang kuat daripada rakyat, tetapi saya nak tegaskan bahawa berdasarkan kepada merit bahawasanya kita bukan sahaja ada wawasan, kita ada 'road map' dan hala tuju yang jelas dan kita telah membuktikan dalam tempoh empat tahun ini, bahawa kita boleh melaksanakan agenda transformasi negara.

“Jika rakyat melihat kejayaan dalam tempoh empat tahun ini, cuba bayangkan jika kita dapat mandat yang kukuh daripada rakyat. Apa yang boleh kita lakukan untuk tempoh lima tahun akan datang, tentu dengan mandat yang kuat dan kukuh, Insya-Allah kita dapat buat lebih hebat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Datuk Ahmad A. Talib di rancangan 'Mandat 2013” selama sejam yang disiarkan TV3.

Najib berkata BN mempunyai peluang yang baik untuk mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan yang diterima beliau ketika mengadakan program 'turun padang' dalam tempoh berkempen yang bukan sahaja meriah tetapi juga luar biasa di sesetengah tempat, menunjukkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan BN.

“Mengambilkira sambutan yang diberikan kepada saya, Timbalan Perdana Menteri dan rakan-rakan saya yang lain, saya dapati bahawa hasrat kita untuk capai dua pertiga, Insya-Allah, ada tanda-tanda bahawa itu boleh dicapai.

“Dalam pada itu, saya tidak mahu kita berasa terlalu complacent (berpuas hati), ada dua hari lagi, jadi kita mesti melakukan apa yang telah diarahkan oleh parti.

“Tinjauan yang kita dah buat dan juga oleh badan-badan bebas termasuk pihak universiti nampaknya menunjukkan kemenangan kepada BN,” katanya.

Najib juga berkata terdapat tanda-tanda rakyat mula kembali kepada Barisan Nasional terutama di negeri-negeri yang ditadbir pakatan rakyat ekoran peningkatan sambutan mereka terhadap BN dan keadaan kehidupan keseluruhan sekarang lebih baik berbanding dahulu.

“Kadang-kadang bila saya tanya dalam ucapan saya seperti di Kelantan semalam, sambutan begitu spontan daripada orang ramai bahawa mereka kata keadaan sekarang adalah lebih baik daripada 2008, malah di sesetengah tempat kata lebih baik daripada 2004.

“Saya pun sedar, mood dan sentimen itu baik, tetapi masih ada lagi faktor-faktor yang masih perlu diambikira untuk memastikan semuanya berjalan sepertimana yang dirancangkan,” katanya.

Ditanya faktor yang menyebabkan rakyat kembali yakin kepada BN, beliau berkata keyakinan itu meningkat berdasarkan agenda transformasi negara yang berpaksi kepada Gagasan 1Malaysia yang dilaksanakan kerajaan dalam tempoh empat tahun ini. 

“Kita juga buat proses pembaharuan dalam negara kita seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), kita beri ruang kepada proses demokrasi yang lebih sihat dalam negara kita dan menegakkan prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang). 

“(Selain itu) Prestasi kita, ekonomi kita yang memberangsangkan, kita dapat menyediakan peluang pekerjaan, mereka lihat jumlah pelaburan terus meningkat, nilai KLSE saham kita mencapai tahap yang paling tinggi dalam sejarah, melebihi 1,700 (mata) sekarang ini,” katanya. 

Najib berkata semua petanda itu menjurus kepada keyakinan rakyat terutama apabila 'Rakyat Didahulukan', ia bukan slogan tetapi kerajaan dapat menterjemahkannya kepada bentuk program seperti dalam Belanjawan Tahunan 2012 dan 2013, dan yang sangat memberi kesan kepada rakyat ialah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau berkata sambutan yang begitu baik di Kelantan adalah berdasarkan kepada dua faktor iaitu keyakinan rakyat kepada dasar transformasi negara dan aku janji beliau yang merupakan kontrak BN dengan rakyat bahawa wujud 'kebolehpercayaan', ketika membentangkan manifesto BN awal bulan lepas.

“Jadi, bila saya kata ini satu janji, satu ikatan dengan rakyat, maka rakyat yakin hari ini apa yang kita janji kepada rakyat untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang. Insya-Allah, ini yang dinantikan oleh rakyat,” katanya.

Najib berkata faktor kedua ialah rakyat Kelantan mula merasakan bahawa sudah tiba masa bagi rakyat negeri itu untuk melakukan satu perubahan selepas 23 tahun diperintah kerajaan PAS apabila dapat menilai sejauh mana kerajaan negeri itu dapat memenuhi janjinya dan kemampuannya mentadbir Kelantan.

“Apa-apa yang mereka lakukan dalam konteks di Kelantan dan juga konteks negara kita menimbulkan banyak kesangsian termasuk mereka mempersoalkan komitmen PAS terhadap akidah Islam itu sendiri dan memartabatkan Islam itu banyak dipersoalkan oleh orang Islam di Kelantan sendiri,” katanya. 

Katanya, guru-guru pondok juga telah hilang kepercayaan kepada PAS dalam banyak hal seperti berkaitan soal akidah terutama soal kalimah Allah yang dilihat PAS berdolak dalik dan tidak mempertahankan isu tersebut yang merupakan isu besar membabitkan bukan sahaja umat Islam di Kelantan tetapi juga di seluruh negara.

“Malah, semalam saya telah berbual dengan seorang ustaz, iaitu seorang guru pondok, beliau beritahu kepada saya, PAS boleh mempertikaikan kemungkaran lain tetapi PAS melakukan kemungkaran akidah yang terbesar iaitu apabila PAS kata, PAS itu Islam dan Islam itu PAS, yang merupakan kemungkaran akidah yang besar.

“Maknanya, pada guru-guru pondok, PAS telah merosakkan akidah umat Islam, ini serius pada mereka,” katanya, menambah ini punca besar sebab penyokong tradisi mereka mula hilang kepercayaan kepada PAS.

Menyentuh mengenai keadaan di Kedah, Najib menyifatkan kerajaan negeri itu sebagai 'tidak berfungsi' apabila kepimpinan menteri besar dan beberapa exconya sudah berpecah dan berbalah secara terbuka yang menunjukkan perjalanan negeri Kedah sudah tempang dan tidak dapat memenuhi harapan rakyat.

“Sebab itu saya yakin, Insya-Allah di Kedah juga, rakyat sudah bersedia untuk mengembalikan Kedah ke tangan BN,” katanya.  

Begitu juga di Selangor, Najib berkata didapati rakyat negeri itu telah kecewa, terutama ibu-ibu tunggal yang jelas rasa tertipu dengan janji-janji kosong pada 2008 yang tidak ditepati kerajaan negeri yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Mereka juga sedar, Selangor ini terlalu penting untuk masa depan negara.

Jika kita sebut agenda transformasi negara, 60 peratus daripada GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) memang tertumpu kepada Lembah Klang. Jika kita tak pastikan kerajaan Selangor dan Pusat daripada parti yang sama, ini akan membantutkan pembangunan negara kita dan pencapaian dasar transformasi negara.

“Dalam hal air sahaja, kita tengok isu air, bagaimana perancangan kita untuk memberi satu penyelesaian yang berkesan dan bagi tempoh jangka panjang dihalang oleh kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas mengenai Sabah dan Sarawak, Najib berkata kedua-dua negeri itu masih kekal sebagai kubu kuat BN walaupun diserang bertubi-tubi oleh pakatan rakyat.

“Sepertimana dalam pilihan raya di Sarawak, walaupun diserang dengan begitu hebat (oleh pembangkang) tetapi kita menang dengan lebih dua pertiga di Sarawak. Jadi, saya lihat Sabah dan Sarawak akan kekal bilangan kerusi yang besar kepada BN,” katanya.

Selain menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi Ahad ini, beliau turut meminta pengundi tenang dan membuat penilaian dengan bijak untuk memilih pemimpin yang boleh menjamin masa depan yang lebih bersinar serta menyediakan hari esok yang lebih baik daripada hari ini.  

“Tolong keluar mengundi, jangan takut, ini mainan (politik) sahaja. Ini soal (psikologi untuk menakut-nakutkan) psychology of fear, jika kita tunduk pada ini, ini bermakna pihak yang bertanggungjawab akan berjaya. 

“(soal keselamatan)... itu jaminan polis dan pasukan keselamatan, kita percaya yang paling utama, jika rakyat sendiri bertindak mengikut lunas undang-undang negara, Insya-Allah PRU13 akan berlangsung dengan aman dan baik,” katanya. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi