Bahasa

MAS mulakan perkhidmatan A330-390 dari KL ke Sydney

MELBOURNE, 6 Mac — Malayisia Airlines (MAS) akan memulakan perkhidmatan A330-300 pada laluan Sydney-Kuala Lumpur mulai esok.

Perkhidmatan pesawat yang menyediakan 283 tempat duduk dari Sydney itu menggantikan perkhidmatan malam B777-200 dan akan digandakan bagi penerbangan harian mulai 1 April, demikian menurut MAS dalam satu kenyataan.

Penerbangan MH140 itu berlepas dari Sydney setiap hari pada jam 9.55 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada jam 3.20 pagi keesokan harinya manakala mulai 1 April, penerbangan MH122, iaitu perkhidmatan harian kedua A330-300 berlepas dari Sydney pada jam 3.40 petang dan akan tiba di Kuala Lumpur pada jam 8.50 malam hari yang sama.

Penerbangan pulang, MH141, akan berlepas setiap hari dari Kuala Lumpur pada jam 9.00 pagi dan tiba di Sydney pada jam 7.55 malam manakala perkhidmatan harian MH123 berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 10.50 malam dan tiba di Sydney pada jam 9.45 pagi keesokan harinya.

“Pengenalan pesawat baharu ini akan mengukuhkan kedudukan MAS di dalam pasaran Australasia, dengan memberikan para pelanggan peluang mengalami produk tercanggih paling baharu, yang ditambah dengan layanan yang mendapat kepujian,” kata MAS.

MAS mengendalikan 51 penerbangan mingguan dari bandar raya Australia ke Malaysia—Sydney dan Melbourne, kedua-duanya 14 penerbangan setiap satu, Perth (11 penerbangan), Adelaide (tujuh penerbangan) dan Brisbane (lima penerbangan). – Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.