Bahasa

Mashitah: DAP boleh digelar Kafir Harbi jika tolak Islam

Oleh Mohd Farhan Darwis
November 07, 2012

KUALA LUMPUR, 7 Nov — DAP boleh diistilahkan sebagai Kafir Harbi, sekiranya parti itu secara terbuka menentang dan menolak Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim.

Mashitah ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini menegaskan, mana-mana pihak yang membuat tuduhan Kafir Harbi mahupun Kafir Zimmi juga boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Sivil di bawah Peruntukan 298(A) Kanun Keseksaan kerana cuba menimbulkan rasa tidak senang hati yang boleh menjurus kepada perpecahan dan memudaratkan keharmonian negara.

“Sekiranya bukan Muslim menentang kepada Islam, mengeluarkan kenyataan seperti melabel bahawa syariah Islam itu ekstremisme, dengan terang menyebut tidak mahu Islam, tidak kiralah nak langkah mayat atau tidak, atau merasakan mempertahankan maruah Islam itu sebagai sesuatu yang membazir tenaga dan masa, maka jelas bahawa ia adalah menentang kepada Islam,” kata Mashitah dalam jawapan lisan kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka (orang yang menuduh) boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun.”

Beliau turut menegaskan, dalam keadaan masyarakat majmuk di negara ini, istilah tersebut bukanlah suatu tuduhan, sebaliknya hanya merupakan istilah yang diguna pakai ulama untuk membuat kajian sikap bukan Muslim terhadap komuniti Muslim.

“Ia bukan satu tuduhan ... istilah atau konsep Kafir Harbi atau Zimmi adalah satu istilah yang digunapakai oleh para ulama untuk membuat kajian sikap atau pembacaan sikap terhadap bukan Islam yang ada untuk bekerjasama dengan mereka.

“Jadi daripada kajian sikap itu, diklasifikasikan atau dikategorikan sama ada bukan muslim itu dianggap sebagai (Kafir) Harbi atau Zimmi.

“Ia bukan satu istilah yang membolehkan sebarang hukuman diambil untuk dibunuh atau sebagainya ...  tetapi adalah sebagai satu kajian sikap yang mana bila diklasifikasikan mana-mana orang itu sebagai Harbi atau Zimmi, sama ada kita masih terus boleh berkawan dengan dia ataupun tidak ... itu sahaja.

“Jadi tidak timbul soalan tuduhan yang boleh membawa kepada satu hukuman atau sebagainya,” tegasnya lagi.

Mashitah juga turut mengulas lanjut, “mana-mana bukan Islam yang boleh taat kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang beragama Islam, patuh kepada perjanjian kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan ... mereka kategori Kafir Zimmi yang boleh dijadikan kawan.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam menjelaskan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berhubung istilah “Kafir Harbi” yang merujuk kepada komuniti bukan Islam di negara ini.

Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama itu juga menegaskan, gelaran Kafir Harbi, mahupun Kafir Zimmi yang dikeluarkan terhadap pihak-pihak tertentu juga adalah bersifat peribadi.

Akhbar Utusan Malaysia pada Ogos lalu pernah mengeluarkan kenyataan berhubung satu temubual dengan pengasas Sekolah Agama Pondok Geting, Tumpat di Kelantan, Abdullah Sa’amah yang mengatakan adalah haram menyokong DAP kerana parti itu menolak hukum Islam dan turut melabelkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu dengan gelaran Kafir Harbi.

Istilah Kafir Harbi merujuk kepada golongan musuh bukan Islam yang mengancam dan berperang dengan umat Islam yang mana darah mereka halal ditumpahkan.

Dalam konotasi suasana perang, ia boleh diistilahkan diperingkat negara kerana golongan Kafir Harbi itu juga turut berusaha untuk membunuh umat Islam.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi