Bahasa

Masyarakat Islam Kelantan tidak setuju kalimah Allah digunapakai bukan Islam

January 10, 2013

Rata-rata masyarakat Islam di Kelantan membantah keras dan tidak bersetuju kalimah Allah digunakan orang bukan Islam, termasuk dalam Bible versi Melayu. — Gambar failRata-rata masyarakat Islam di Kelantan membantah keras dan tidak bersetuju kalimah Allah digunakan orang bukan Islam, termasuk dalam Bible versi Melayu. — Gambar failKOTA BAHARU, 10 Jan — Rata-rata masyarakat Islam di Kelantan membantah keras dan tidak bersetuju kalimah Allah digunakan orang bukan Islam, termasuk dalam Bible versi Melayu.

Mereka mahu kerajaan bertindak tegas dan tidak berkompromi dengan kalangan yang cuba menyalahgunakan kalimah itu termasuk bagi kepentingan politik.

Menurut mereka, ini kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan negara di mana agama Islam adalah agama rasmi persekutuan dan kalimah itu adalah hak eksklusif umat Islam.

Penyelia Pelajaran Pendidikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Baharu Shahran Ahmad berkata kerajaan tidak harus tunduk kepada tekanan pihak tertentu dalam penggunaan kalimah itu.

“Kerajaan harus melihat dari sudut jangka panjang jika kalimah itu dipergunakan oleh agama lain, terutama masa depan agama Islam sendiri,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan membangkitkan semula isu kalimah Allah melalui laman blognya dengan menggesa kerajaan pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad hari ini dilaporkan berkata kalimah itu tidak boleh digunakan oleh agama lain sebagaimana termaktub dalam enakmen kawalan pengembangan agama asing terhadap orang Islam yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sejak 1981.

Ia juga diterima pakai oleh Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) (pindaan 1994).

Seorang guru pendidikan Islam di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan Ab Rahim Hussein berkata kerajaan harus melihat tujuan di sebalik penggunaan kalimah itu.

“Saya yakin mereka yang cuba mempertahankan isu penggunaan kalimah itu mempunyai kepentingan tertentu, sama ada dari segi politik dan agama,” katanya.

Pegawai agama Islam di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Md

Shukri Abdul Rahman berkata pihak berkuasa harus melihat tujuan penggunaan kalimah itu sama ada berniat ikhlas atau ada muslihat lain.

“Ini disebabkan adanya muslihat tertentu menyebabkan wujud percanggahan pendapat, terutamanya di kalangan pemimpin politik,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi