Bahasa

Masyarakat perlu sedar dan faham taktik Anwar, kata Rais

May 27, 2012

PORT DICKSON, 27 Mei — Masyarakat perlu sedar dan memahami akan taktik ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering berbohong mengenai sesuatu fakta termasuk dalam insiden perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) berkata kenyataan Anwar yang mendakwa lebih 200,000 orang menyertai perhimpunan itu adalah bohong kerana angka sebenar adalah hanya 22,275 sahaja.

“Bagaimana kita dapat angka ini? Angka ini kita ambil dari udara dengan kerjasama polis dan pihak-pihak luar kita gunakan ‘centimeter exposition mechanism photography’.

“Dan setiap sentimeter itu kita bilang kepala manusia dan kita dapat jumlah 22,275, tapi Anwar kata 200,000 lebih. Dari situ apa ertinya? Dari situ kita faham bahawa Anwar Ibrahim adalah orang yang tidak bercakap benar,” katanya ketika berucap merasmikan Program Mesra 1Malaysia Parlimen Teluk Kemang, di sini hari ini.

Rais berkata perhimpunan Bersih lalu yang menurut Anwar tiada keganasan dilakukan oleh peserta juga adalah tidak benar apabila pejabatnya yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad, berhadapan dengan Dataran Merdeka turut dirosakkan.

Katanya, Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya yang menghimpunkan lebih ramai peserta berbanding perhimpunan Bersih juga tidak mengakibatkan sebarang kesulitan kepada masyarakat atau kerosakan harta benda.

“Tidak ada satu pun peristiwa buruk berlaku, kita mahu menyatakan sekian ramai kita di Putrajaya, kita berkumpul secara aman dan mencari jalan yang terbaik bersama beliawanis pelbagai kaum,” katanya.

Justeru katanya, masyarakat harus sedar dan tidak terikut-ikut dengan Anwar yang menurutnya cuba merampas kuasa negara dengan cara keganasan dan tipu helah.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi