Bahasa

‘Mat Despatch’ KL bekerjasama, jana pendapatan tambahan

Oleh Mohd Farhan Darwis
February 11, 2013

Sekumpulan despatch berkumpul di sebuah gerai makan India Muslim, Agros di Jalan Seri Hartamas 1. — Gambar Choo Choy MaySekumpulan despatch berkumpul di sebuah gerai makan India Muslim, Agros di Jalan Seri Hartamas 1. — Gambar Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 11 Feb — Majoriti yang membesar sekitar tahun akhir 1990-an dan awal tahun 2000 mengenali watak “Mat Despatch” karya kartunis Lengkuas — sering meminta RM2 daripada bosnya dalam siri majalah humor Ujang, dengan gaya rambut panjang dan berseluar singkat.

Namun begitu, tidak ramai yang sedar tugas Mat Despatch, atau mereka yang digelar sebagai “piun” ini wujud di sekitar mereka.

Terdapat satu lokasi di kawasan Sri Hartamas yang menjadi “port” sekumpulan despatch ini sebelum memulakan tugas harian mereka, di sebuah gerai makan India Muslim, Agros di Jalan Seri Hartamas 1.

Dengan ahli sekitar 10 orang, mereka akan berkumpul di gerai tersebut sekitar jam 11 pagi, dan akan bertukar-tukar dokumen mengikut lokasi penghantaran bagi memudahkan tugas mereka disamping melengkapkan tugasan mereka pada hari tersebut.

Tinjauan The Malaysian Insider di lokasi tersebut mendapati kumpulan Mat Despatch ini akan berbual-bual kosong diselangi gelak ketawa sebelum masing-masing bergerak ke lokasi mereka.

Ari (kiri) dan kawan despatch membahagikan kerja.Ari (kiri) dan kawan despatch membahagikan kerja.Salah seorang daripada despatch tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Ari, berusia 29 dan merupakan anak jati Kuala Lumpur berkata, tujuan sebenar mereka berkumpul dan membahagi-bahagikan dokumen mengikut kawasan adalah untuk memudahkan tugas mereka, dan menyiapkan tugasan mengikut masa ditetapkan.

“Mustahil kami dapat hantar dokumen di lokasi yang berlainan dalam masa satu hari ... jadi, ini adalah inisiatif kami untuk memudahkan kerja dan menyelesaikan tugasan kami.

“Biasanya setiap orang akan ditugaskan di satu kawasan, contohnya saya di Bangsar, semua dokumen yang perlu dihantar ke Bangsar akan diserahkan kepada saya,” kata Ari sambil membahagi-bahagikan dokumen dan diserahkan kepada rakan-rakan despatchnya.

Sementara itu, Amy, 22, dan berasal dari Perak berkata, kumpulannya itu bukan sahaja menghantar dokumen yang diarahkan syarikat tempat mereka bekerja, tetapi juga turut menjadikan tugasan despatch secara separuh masa di syarikat lain sebagai pendapatan tambahan mereka.

“Buat lepas-lepas duit minyak ... jadi kami tidak perlu menggunakan gaji untuk kegunaan harian,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Keunikan kumpulan despatch ini jelas Amy adalah waktu kerja yang singkat dan dengan mengisi masa terluang itu melalui kerja separuh masa ini, mereka dapat mengisi masa di samping menambah pendaptan.

“Saya pukul 11 pagi sudah selesai tugasan di syarikat tempat bekerja, jadi daripada masa terbuang sementara menunggu masa balik, lebih baik saya buat kerja ‘part time’.

“Sekurang-kurangnya saya dapat pendapatan tambahan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Malah, kumpulan despatch ini turut mengambil pekerja separuh masa untuk membantu mereka menghantar dokumen yang diterima daripada sesuatu syarikat lain.

“Banyak syarikat yang lebih suka ambil pekerja despatch secara separuh masa, kami sendiri ada ambil pekerja separuh masa.

“Daripada kawan-kawan saya tiada kerja, lebih baik mereka membantu menghantar dokumen,” kata Lip, salah seorang despatch yang berasal dari Semenyih.

Jejaka berusia 32 tahun sudah pun berumah tangga, dan telah lebih setahun menjalankan tugas sebagai despatch di bandaraya ini.

“Setiap tempat kami kenakan RM5 untuk kawasan Kuala Lumpur, kalau keluar dari KL, kami beri harga lain.

“Setakat ini paling jauh kami pernah hantar dokumen ke Seremban, itu pun oleh kerana dokumen itu sangat penting, kalau begitu harga kami kenakan juga berbeza, minimum RM100,” kata Lip yang bertugas menghantar dokumen ke Kapar.

Menetapkan keluar untuk despatch.Menetapkan keluar untuk despatch.Menurut kumpulan ini, dengan kenaikan harga barangan keperluan harian dan bahan api, mereka tiada pilihan lain selain menggunakan kaedah bekerja separuh masa untuk menambah pendapatan, lebih-lebih lagi sekiranya mereka sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan.

“Kalau harapkan bayaran gaji daripada syarikat sahaja, memang tidak cukup makan,” kata Ari yang sudah berkecimpung lebih 10 tahun sebagai despatch.

Jelasnya, dengan pendapatan maksimum despatch sekitar RM1,500 sebulan, amat sukar untuk meneruskan kehidupan di bandaraya ini.

“Dapat RM300 hingga RM400 sebulan daripada kerja separuh masa ini pun sudah banyak membantu kami menguruskan keluarga.

“Sekurang-kurangnya kami tidak terlalu bergantung kepada pendapatan tetap,” katanya lagi.

Selepas dokumen diserahkan kepada syarikat-syarikat berkenaan, mereka akan berkumpul semula di KL dan melakukan ‘post-mortem’ dan menyemak setiap pengesahan dokumen yang dihantar untuk diserahkan kepada syarikat untuk mendapatkan bayaran.

“Port kami biasanya mamak, ataupun gerai makan di sekitar KL.

“Ini bagi membolehkan kami semak semula bukti penghantaran bagi membolehkan kami mendapatkan bayaran,” kata Ari.

Jelas Ari, selain faktor cuaca, karenah pelanggan menjadi cabaran terbesar mereka.

“Cuaca biasalah, hujan, panas, kerosakan teknikal kepada motorsikal menjadi cabaran kami, namun karenah pelanggan cabaran terbesar.

“Tapi kami biasanya sudah ada ‘back up plan’. Kalau ada motorsikal yang rosak, kami akan bantu mereka, yang penting dokumen kami hantar,” katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi