Bahasa

Mat Sabu mahu ketuai pengisytiharan harta

Oleh Nomy Nozwir
November 15, 2012

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Mohamad Sabu berkata beliau dan pemimpin tertinggi PAS komited untuk mengisytiharkan harta menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dipetik dari Harakahdaily, timbalan presiden PAS (gambar) itu berkata, beliau harus menunjukkan contoh kepada ahli-ahli PAS dan usaha tersebut harus dimulakan oleh beliau sendiri.

“Saya beriltizam untuk mengisytiharkan harta saya sebagai contoh perubahan yang harus dilakukan sebagai timbalan presiden,” kata beliau ketika merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, di Kota Bharu malam semalam.

Dalam ucapan di hadapan 1,000 orang delegasi, Mohamad mengambil pendirian agar agenda PAS dan Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya harus dimulakan dengan satu perubahan berani.

Mohamad yang mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata, perubahan bermula oleh PAS termasuk mereka yang akan menjadi wakil rakyat dan ahli majlis.

Dewan Pemuda PAS sebelum ini telah mengumumkan akan membuat pengisytiharan harta menjelang PRU akan datang.

Keputusan rasmi dan mekanisme akan ditentukan dalam muktamar nanti.

Cadangan Pemuda itu turut disokong oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Baru-baru ini Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil mengumumkan kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta semasa muktamar dewan tersebut di Kelantan esok.

“Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS,” katanya dipetik dari Harakahdaily.

Khairul Faizi juga dilaporkan berkata langkah tersebut bagi menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang.

Langkah pengisytiharan harta itu turut disokong oleh Pengerusi Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kata menteri besar Pahang itu, ia adalah wajar supaya anggota Umno bersih dari elemen prasangka sebelum layak dipilih mewakili parti dan mengelakkan seseorang itu hidup diluar kemampuan yang tidak seimbang dengan pendapatan.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi