Mayat lelaki lemas di Sungai Kinabatangan ditemui
KINABATANGAN, 7 Jun – Mayat seorang lelaki yang lemas di Sungai Kinabatangan pada Ahad lepas ditemui hari ini, kira-kira 40 kilometer dari tempat dia dilapor hilang.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan DSP Martin Lugu berkata mayat Montoh Kari, 54, ditemui di kawasan berhampiran Kampung Pintas Danau kira-kira pukul 3 petang oleh penduduk kampung yang bersama-sama menjalankan operasi mencari mangsa.
Mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan terapung kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat, katanya ketika dihubungi.
Martin berkata operasi mencari yang dilancar sejak Ahad lepas melibatkan anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam sukar menemui mayat mangsa disebabkan arus sungai yang deras.
Montoh terjatuh di sungai itu selepas tergelincir dari perahu yang dinaiki di Jeti Yu Wang di Kampung Sukau ketika hendak balik ke rumahnya di seberang sungai. – Bernama




