Bahasa

MB Perak: Kerajaan negeri tak setuju MoU nadir bumi

IPOH, 30 April – Kerajaan negeri mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) membatalkan memorandum persefahaman (MoU) dengan firma Hong Kong bagi menerokai dan melombong nadir bumi di Bukit Merah kerana kerajaan negeri tidak bersetuju dengan cadangan projek itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri memutuskan supaya MoU itu dibatalkan kerana ia membabitkan masalah rakyat dan dasar kerajaan negeri adalah mengutamakan rakyat.

Malam tadi, PKNP mengumumkan telah membatalkan MoU dengan CVM Minerals Limited dalam satu kenyataan oleh Ketua Eksekutifnya Datuk Shamsudin Hashim.

Beliau berkata MoU bagi projek nadir bumi yang disyorkan itu dibatalkan serta merta oleh kedua-dua pihak memandangkan kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengeluarkan apa-apa permit, lesen atau kelulusan tanah bagi sebarang projek nadir bumi di Perak.

“Bila kerajaan negeri mengetahui perkara ini, kita terus mengarahkan siasatan diambil dan diputuskan agar dibatalkan.

“Walaupun MoU itu tidak terikat daripada segi undang-undang kita tetap memutuskan agar ia dibatalkan,” kata Zambry, yang juga Pengerusi PKNP, dipetik Bernama Online.

Semalam, Zambry kesal dengan PKNP kerana menandatangani MoU itu tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada kerajaan negeri dan berharap pihak tertentu termasuk DAP tidak terus mempolitikkan perkara itu.

“Apabila kita dapat tahu, kita terus bertindak... tetapi ada pihak lain cuba mempolitikkan perkara ini. Mereka anggap mustahil saya tidak dimaklumkan,” katanya di sini hari ini.

Laporan mengenai MoU itu untuk menerokai dan melombong nadir bumi di Bukit Merah - kawasan yang terkenal dengan kontroversi nadir bumi dan radioaktif telah menimbulkan bantahan beberapa pihak yang bimbang mengenai kesan radiasi daripada projek itu.

Sementara itu, Exco kanan kerajaan negeri Datuk Hamidah Osman menjelaskan MoU berkenaan adalah urusan dalaman antara PKNP dengan sebuah anak syarikatnya yang belum sempat dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.