Bahasa

MB Selangor: Bantuan RM120 juta bukti SYABAS gagal, tidak selesaikan masalah air

KUALA LUMPUR, 3 Feb — Kerajaan negeri Selangor hari ini mengecam pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak meluluskan bantuan kewangan RM120 juta kepada SYABAS semalam dan mendakwa ia membuktikan syarikat air tersebut gagal menguruskan operasi dengan baik.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan rasmi hari ini memperlekehkan langkah kerajaan pusat tersebut dan mendakwa ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah air di negeri tersebut.

“Terbukti syarikat konsesi berkenaan gagal menguruskan bekalan air bersih dan sumber air secara profesional dan berkesan,” kata Abdul Khalid.

“Tindakan Najib memberikan bantuan dana ini membuktikan kerajaan pusat sebenarnya tidak berminat membantu kerajaan Selangor mengambilalih air demi kebajikan rakyat.”

Abdul Khalid (gambar) juga meminta pihak pengurusan SYABAS menjelas pelan rancangan mereka supaya wang yang diberikan tersebut tidak disalahguna.

“Kerajaan Selangor akan meminta SYABAS memberikan secara terperinci bentuk-bentuk perbelanjaan yang akan dibelanjakan menggunakan dana itu bagi mengelak penyelewengan,” tambah Abdul Khalid.

Menurut Abdul Khalid, bantuan tersebut bukan kali pertama malahan kerajaan pusat pernah memberikan RM606 juta sebelum ini tetapi SYABAS masih lagi menjalankan tanggungjawab mereka kerana gagal menurunkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) yang ketika ini pada paras 33 peratus.

“Sejarah telah membuktikan walaupun SYABAS menerima pinjaman mudah (soft loan) daripada kerajaan Pusat tetapi syarikat itu yang menerima konsesi selama 30 tahun untuk menguruskan air di Lembah Klang tetap gagal menurunkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) yang ketika ini pada paras 33 peratus,” kata Abdul Khalid.

Selain itu, Abdul Khalid menggesa pentadbiran Najib untuk menyokong usaha kerajaan negeri untuk menstruktur semula industri perkhidmatan air dan bukannya membeirkan bantuan sedemikian tanpa menyemak terlebih dahulu.

Malahan, beliau juga menuduh Najib sebagai seorang yang tidak mementingkan rakyat di Selangor tetapi sebaliknya hanya memikirkan untuk mengayakan kroni Umno yang berada di dalam SYABAS.

“Tindakan Najib nampak lebih mengutamakan syarikat konsesi yang dikuasai kroni Umno yang selama ini berusaha menaikkan kadar tarif air tetapi berjaya dihalang oleh kerajaan Selangor,” tegas beliau lagi.

Keputusan Najib semalam diumumkan sejurus Abdul Khalid mengumumkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) bercadang untuk mengambil alih perkhidmatan air dari syarikat konsesi air di negeri itu dalam tempoh 14 hari serta turut menghantar surat bertulis kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, tentang perkara tersebut.

Selangor bertegas menentang projek Langat 2 yang diumumkan oleh kerajaan pusat dengan menyifatkan ia berkos tinggi dan akan menyebabkan negeri tersebut terpaksa meningkatkan tarif air serta terpaksa memungkiri janji mereka untuk memberi air murah, polisi kerajaan PR yang diperkenalkan selepas memenangi pilihan raya 2008.

Untuk melancarkan proses, Selangor memulakan langkah untuk mengambil alih pada 2009 dengan menawarkan untuk membeli Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS pada harga RM5.7 bilion tetapi kemudiaannya telah ditolak.

Abdul Khalid berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air di Sabak Bernam menyatakan Putrajaya tidak menghalang kerajaan negeri mengambil alih perkhidmatan air menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan tersebut.

Tahun lepas, Abdul Khalid dilaporkan telah meningkatkan tawaran lebih daripada RM9 bilion untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti syarikat tersebut termasuk bon.

Awal bulan ini, ribuan pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kerosakan sistem pam tambahan di Rumah Pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.

Gangguan air tersebut antara yang terburuk sejak PR mengambil alih negeri Selangor.

PR memerintah Selangor dan menguasai 10 daripada 11 kerusi Parlimen di dalam Kerajaan Persekutuan.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.