Bahasa

MB Selangor: Kalimah Allah dalam lagu negeri bukan isu

Menurut Menteri Besar Selangor itu, penggunaan kalimah Allah hanya menjadi kesalahan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan dan penyalahgunaan seperti menghasut umat Islam untuk bertukar agama yang boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

"Ini sejajar dengan fatwa di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003(Pindaan 2010): wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Enakmen ini perlu dibaca dan difahami secara menyeluruh untuk mengelak sebarang kekeliruan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Khalid (gambar), Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor dan kerajaan negeri sentiasa menghormati kuasa tersebut.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa orang Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mufti Selangor serta pegawai tertìnggi MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengharamkan bukan Islam daripada menggunakan perkataan Arab tersebut.

Kenyataan dari pihak berkuasa Islam tertinggi negeri tersebut keluar walaupun keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 mengatakan perkataan "Allah" tidak terhad kepada orang Islam dan Gereja Katolik mempunyai hak untuk menerbitkan perkataan dalam seksyen bahasa Melayu akhbar mingguan itu, Herald.

Walaupun titah terbaru Sultan Selangor mengharamkan orang bukan Islam di negeri tersebut daripada menggunakan perkataan "Allah", Pakatan Rakyat (PR) mengesahkan semelam pendirian dalam kontroversi tersebut, menegaskan Islam tidak melarang orang lain daripada menggunakan perkataan tersebut.

Hari ini bekas Mufti Besar Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan lagu kebanyakkan negeri-negeri yang menggunakan kalimah "Allah" terpaksa ditukar dengan keputusan mengharamkan penggunaan kalimah Arab tersebut bagi orang-orang bukan Islam.

Mohd Asri dilihat memberi respon kepada perintah Di Raja yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor mengharamkan penganut agama selain Islam untuk menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada tuhan mereka.

"Bnyk lagu negeri2 ada klimah Allah trmasuk S'ngor. Jk mrk haram sama sekali pnggil Tuhan ALLAH, mk versi khas dperlukn," tulis beliau di akaun Twitternya, @realDrMAZA.

"Ertinya pengharaman total tidak mungkin. Kalau sekadar untuk Bible Bahasa Melayu, itu soal pentadbiran sahaja."

"Kerajaan boleh larang (penggunaan kalimah Allah) atas pentadbiran, bukan kerana Islam mengharamkan bukan Muslim sebab tiada arahan khusus dalam Islam tentang hal ini. Bible di negara Arab semua sebut Allah," kata beliau lagi.

Malaysia yang didominasi Islam mempunyai 13 buah negeri dan tiga wilayah persekutuan. Kebanyakan lagu negeri mengandungi perkataan "Allah" di dalam liriknya.

Lagu kebangsaan, "Negaraku", tidak mengandungi perkataan Arab "Allah" tetapi menggunakan perkataan Melayu, "Tuhan".

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.