Bahasa

MB Selangor nafi tulis surat tamatkan perkhidmatan YDP Majlis Perbandaran Selayang

SHAH ALAM, 19 Nov — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) hari ini menafikan bahawa beliau menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa supaya perkhidmatan Datuk Zainal Abidin A’ala sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ditamatkan.

Abdul Khalid berkata beliau hanya mengemukakan perancangan awal untuk mengenal pasti calon yang akan menggantikan Zainal Abidin sebelum Yang Dipertua MPS itu bersara tahun depan.

“Saya tidak ada menulis surat kepada KSN supaya memberhentikan YDP Selayang itu kerana sebagai Menteri Besar, saya juga mesti melihat apa yang dipanggil perancangan penggantian’ dapat dilakukan.

“Saya sendiri tidak tahu sama ada cadangan saya itu diluluskan atau tidak sehinggalah pengumuman (penamatan tugas Zainal Abidin) dibuat oleh KSN,” katanya kepada pemberita di sini.

Ali dalam kenyataannya Jumaat lepas memaklumkan penamatan jawatan Zainal Abidin dibuat atas cadangan kerajaan negeri Selangor.

Katanya penamatan jawatan itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melalui surat bertarikh 15 Okt lepas yang memaklumkan bahawa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan untuk menggantikan Zainal Abidin dengan pegawai lain. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments