Bahasa

MBM pandang serius peranan belia dalam pembentukan masa depan negara

January 31, 2013

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang serius peranan golongan belia sebagai aset penting dan penyumbang terbesar kepada pembentukan masa depan negara.

Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata golongan belia tergolong daripada kumpulan pengundi muda kini menjadi tumpuan dan penentu dalam proses demokrasi, dengan sebahagian daripada mereka adalah pengundi baharu.

Justeru, beliau berkata MBM akan memastikan golongan belia ini benar-benar melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi yang berintegriti demi masa depan mereka.

Katanya selain memberi fokus kepada program pembangunan belia, MBM bersama 40 badan gabungan lain juga mengambil berat terhadap kesinambungan pentadbiran negara melalui penentuan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Sebanyak 13.1 juta pengundi akan menentukan di mana kita pada masa akan datang. Daripada jumlah itu terdapat kira-kira 5.6 juta pengundi muda dan 43 peratus daripadanya adalah pengundi baharu. Sehubungan ini, MBM mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan supaya belia dapat membuat keputusan yang tepat dan bukannya berdasarkan emosi atau persepsi semata-mata,” katanya ketika ditemu bual menerusi program Dalam Radar, terbitan Bernama Radio24.

Dalam pada itu, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk pembangunan belia sejak sebelum era kemerdekaan sehingga kemajuan Malaysia hari ini, MBM mengakui dan mengiktiraf kerajaan sedia ada tidak pernah gagal dalam memperjuangkan nasib belia di negara ini.

Mohamed Maliki berkata suara dan keperluan anak muda dipenuhi sama ada secara individu atau organisasi, malah kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membangunkan belia di negara ini telah kelihatan sejak tiga tahun lepas.

Kata beliau, MBM juga komited memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan aman dan lancar serta bersedia menjadi pemantau tempatan dengan menempatkan para sukarelawan belia untuk melaporkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses pilihan raya. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi