Bahasa

Media arus perdana digesa bertindak agresif atasi fitnah

Ali Rustam berharap agar pihak media lebih bertanggungjawab. - Gambar fail Ali Rustam berharap agar pihak media lebih bertanggungjawab. - Gambar fail

MELAKA, 17 Mac — Media arus perdana sama ada berbahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil perlu lebih agresif, responsif dan proaktif menyerang balas maklumat yang tidak tepat atau fitnah yang disebarkan media sosial, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata segala maklumat yang disiar atau dikongsikan media perlu kesahihan daripada pihak berwajib bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham pembaca, pendengar atau penonton.

“Kita tidak boleh membiarkan fikiran masyarakat diracuni oleh fitnah pembangkang melalui media sosial yang kerja mereka hanyalah mengkritik kerajaan semata-mata,” katanya ketika berucap sempena majlis makan malam media di sini malm tadi yang dihadiri kira-kira 120 pengamal media.

Katanya adalah mustahak kepada pengamal media melakukan amalan terbaik dengan mengutamakan kebenaran, keadilan, telus berdasarkan fakta dan sikap tidak memihak dalam menghidangkan berita dan maklumat.

Mohd Ali berkata pihak media juga perlu lebih berhati-hati supaya tidak menyemarakkan api perkauman dan bertindak semata-mata atas perhitungan pihak tertentu yang mahu meraih populariti atau politik murahan.

Beliau turut berharap agar pihak media lebih bertanggungjawab dalam memastikan masyarakat majmuk terus hidup aman dan mengamalkan semangat perpaduan serta nilai-nilai murni.

Sementara itu beliau berkata kerajaan negeri berpuas hati terhadap peranan dan komitmen pengamal media di negeri ini yang sentiasa memberi sokongan dan menyalurkan maklumat yang tepat khususnya mengenai pembangunan negeri Melaka kepada rakyat. – Bernama

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments