Bahasa

Melayu Johor paling miskin di Malaysia kerana faktor kos hidup, kata DPMM

Syed Ali berkata kos hidup di Johor yang semakin meningkat adalah punca orang Melayu di negeri tersebut paling miskin.Syed Ali berkata kos hidup di Johor yang semakin meningkat adalah punca orang Melayu di negeri tersebut paling miskin.KUALA LUMPUR, 15 Jan — Orang Melayu di Johor adalah orang Melayu paling miskin di Malaysia, kerana kos hidup meningkat kerana orang asing yang semakin ramai datang ke Iskandar Malaysia, kata presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Syed Ali Alattas.

Menurut Syed Ali, 80 peratus dari tanah di Iskandar Malaysia dimiliki orang asing menyebabkan Melayu di Johor kian terpinggir.

“Pada tahun 1800, Melayu Johor adalah paling kaya di negara ini, tetapi kini yang paling miskin, kerana kedatangan orang asing yang membeli tanah di sini, kita tidak lagi mampu untuk menampung kos hidup, terutamanya di Johor Bahru.

“Pembangunan Iskandar ini memundurkan dan meminggirkan orang Melayu dari segi ekonomi, dalam kes tanah dipunyai oleh bukan Melayu, terutamanya bangsa asing,” kata Syed Ali dalam sidang media di ibu pejabat DPMM hari ini.

DPMM juga menggesa kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula projek Iskandar Malaysia, dengan memperuntukkan 30 peratus projek di Nusajaya kepada orang Melayu.

“Dalam resolusi Kongres Ekonomi Melayu Zon Selatan yang berlangsung pada 6 Januari lalu, kedudukan orang Melayu di Johor jauh ketinggalan dari segi perbezaan ekonomi.

“Orang Melayu di Kelantan lebih kaya di Johor kerana setiap ringgitnya lebih bernilai, umpamanya mereka boleh beli rumah banglo RM200,000 sedangkan di Johor RM1.5 juta,” katanya lagi.

Iskandar Malaysia, berkeluasan 221,634 hektar, meliputi keseluruhan daerah Johor Baharu, Mukim Jeram Batu, Mukim Sungai Karang, Mukim Serdat dan Pulau Kukup di dalam Mukim Ayer Masin, yang kesemuanya terletak dalam daerah Pontian.

Sejak pelancarannya pada November 2006, koridor ekonomi itu telah menerima banyak kepentingan asing, bukan sahaja dari Singapura yang berjiran, malah dari Timur Tengah dan United Kingdom.

Kerajaan telah menyenaraikan enam sektor yang disasarkan yang berasaskan perkhidmatan di dalam industri kreatif, pendidikan, khidmat nasihat kewangan dan perundingan, penjagaan kesihatan, logistik dan pelancongan bagi Iskandar Malaysia.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau gembira bahawa pelaburan di Iskandar Malaysia telah melepasi sasaran RM100 bilion dalam tempoh enam tahun dan sebahagian besar daripada jumlah itu diperolehi baru-baru ini.   

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.