Bahasa

Menteri pendidikan Singapura: Kelakuan penulis blog seks ‘patut dikeji’

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Menteri Pendidikan Singapura Heng Swee Keat telah menyifatkan kelakuan penulis blog dari Malaysia, Alvin Tan yang juga pelajar tajaan di negara republik tersebut sebagai “patut dikeji dan tidak menggambarkan sikap graduan”, lapor akhbar Straits Times Singapura hari ini.

Kenyataan Heng tersebut dinyatakan selepas soalan tersebut diajukan oleh ahli parlimen (MP) Singapura yang mahu mengetahui mengenai hukuman yang dikenakan oleh pihak Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) ke atas Tan.

NUS telah menerima kritikan daripada orang ramai ekoran keengganan untuk mendedahkan bentuk hukuman ke atas graduan tersebut walaupun dia telah didapati bersalah mencalarkan reputasi pusat pengajian tersebut.

Tan, 24 tahun merupakan pelajar dalam jurusan undang-undang di NUS telah menjadi perhatian ekoran kontroversi melibatkan dia dan teman wanitanya yang telah meletak gambar dan video seks mereka di dalam blog tersebut.

Dia telah pun dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman bulan lepas.

Kedua-dua pihak telah bertindak berdiam diri ke atas hukuman ke atas Tan, malahan pihak universiti berkata perkara tersebut melibatkan prosiding disiplin yang dianggap sebagai sulit.

Warga Singapura bagaimanapun berpendapat sebaliknya, dengan sembilan daripada 10 pelajar universiti yang ditemubual oleh akhbar Straits Times berkata NUS harus mendedahkan bentuk hukuman yang dikenakan.

Bercakap di Parlimen hari ini, Heng berkata demikian ketika menjawab soalan daripada empat MP yang berdiri untuk bertanya sama ada Kementerian Pendidikan Singapura akan meminta pusat pengajian tersebut mendedahkan hukuman yang diputuskan tersebut kepada awam, lapor akhbar.

MP tersebut Lim Biow Chuan, Intan Azura Mokhtar, Yee Jenn Jong dan Pritam Singh menggesa keputusan hukuman itu perlu diberitahu atas nama ketelusan.

Menteri tersebut dilaporkan dalam akhbar telah berhenti daripada menerangkan bentuk hukuman atau biasiswa pelajar terbabit telah ditamatkan.

Bagaimanapun, beliau yakin pihak NUS akan mengambil serius perkara itu dan melakukan apa yang betul.

Tan sebelum ini telah memohon maaf kepada NUS kerana memalukan institusi tersebut.

Bagaimanapun Tan juga mengatakan beliau melakukan jenayah yang tidak mengganggu orang lain.

Bercakap kepada wartawan selepas inkuiri disiplin NUS, Tan berkata, “saya memohon maaf kerana memalukan NUS.”

Tetapi pelajar berusia 24 tahun itu berkata inkuiri tersebut dilakukan atas kegiatan peribadinya, dan bukannya sebagai pelajar NUS.

“Apa yang saya lakukan ialah kesalahan yang tidak mengganggu orang lain.

“Tidak ada siapa yang tercedera atau dalam bahaya,” katanya lagi.

Pelajar NUS itu juga berkata, gambar erotik dan video dirinya bersama teman wanita adalah “menyeronokkan”, menurut Yahoo! Singapura.

Tan dan teman wanitanya Lee mengatakan mereka gemar memuat naik kegiatan seks mereka di blog mereka, “Sumptuous Erotica” untuk “dinikmati orang ramai”.

Blog itu bagaimanapun telah disekat.

Tan turut berharap biasiswanya tidak ditarik balik.

Tan dipetik akhbar berkenaan sebagai pelajar di Singapura atas Biasiswa Asean pada 2004 dan belajar di Sekolah Menengah Xinmin dan Kolej Junior Raffles sebelum menyambung pengajian di NUS.

Dia yang berasal dari Kuala Lumpur menjalankan perniagaan online.

Ibunya membantunya menjalankan perniagaan keluarga, sementara bapanya bekerja dalam bidang pemasaran.

Menurutnya lagi sejak berita itu tersiar, ibunya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan niaganya.

Semalam, dia mengambil bas ke Singapura daripada rumah Lee di Johor Bahru untuk beberapa sesi bersama media di Singapura.

Lee yang seharusnya menemaninya bagaimanapun menarik diri kerana keluarganya yang sedih dengan publisiti enggan memberikan pasportnya.

The Straits Times Singapura berkata Tan memberikan sesi temu ramah yang baik dan meletakkan rating dirinya di tangga 11 berbanding 1 hingga 10.

“Jika ada yang menarik tentang diri saya, ia adalah tubuh badan saya.”

Polis Jenayah Komersil Datuk Syed Ismail Syed Azizan sebelum ini berkata bahawa pihak berkuasa mempertimbangkan mengambil tindakan terhadap kedua-duanya pasangan tersebut kerana melanggar undang-undang menyebarkan bahan-bahan lucah.

Beliau mengatakan perkara tersebut akan dirujuk kepada SKMM terlebih dahulu.

Di bawah seksyen 292, Kanun Keseksaan, pasangan itu boleh didakwa di bawah undang-undang tersebut adalah penjara selama tiga tahun atau denda.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.