Bahasa

Menuduh peristiwa pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu sandiwara kerajaan perbuatan cukup keji — Najib

Peristiwa pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah menyebabkan timbul pelbagai spekulasi tentang kehadiran mereka di Sabah. — Gambar ReutersPeristiwa pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah menyebabkan timbul pelbagai spekulasi tentang kehadiran mereka di Sabah. — Gambar ReutersKUALA LUMPUR, 5 Mac — Perbuatan menuduh peristiwa pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara kerajaan adalah perbuatan yang cukup keji, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang sedih kejadian pencerobohan itu telah mengakibatkan lapan anggota keselamatan terkorban, berkata manusia yang tergamak berkata sedemikian adalah mereka yang tidak mempunyai perasaan dan tidak berhati perut.

“Apabila ada kumpulan yang menceroboh bumi Malaysia di Sabah, gugurnya perwira-perwira, kehilangan nyawa, yang paling sedih dan yang menyayat hati saya apabila saya terpaksa pergi ke lapangan terbang untuk menerima jenazah wira-wira negara.

“Apabila saya berdepan dengan balu-balu, anak-anak mereka, saya cukup sedih. Ada seorang balu kehilangan suami dalam keadaan dia mengandung sebulan, ada anak (berumur) lima hingga enam tahun yang tidak tahu apa, dia beritahu saya bapa kena bom seolah-olah bapa dia akan muncul semula. Inilah kisah-kisah yang menyedihkan saya.

“Tetapi ada juga orang yang tergamak menuduh ini satu sandiwara kerajaan. Saya tak tahu apa saya nak kata kepada manusia seperti ini. Manusia yang tergamak cakap macam itu, takde perasaan dan hati perut, satu perbuatan yang cukup keji. Sebab itulah, kita perlu menolak orang seperti ini,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.

Umno telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Chua Tian Chang berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataan semalam berkata tindakan itu diambil melalui Penasihat Undang-Undang parti iaitu Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.

Beliau berkata notis telah dihantar kepada Tian Chua yang juga anggota Parlimen Batu menuntut supaya beliau dalam tempoh tujuh hari bermula semalam  berhenti membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu tersebut atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments