Bahasa

Menulis Cerpen Berbobot — Bahagian 1

Oleh Uthaya Sankar SB
December 17, 2012

Antologi cerpen yang menang hadiah boleh menjadi panduan bagi menghasilkan karya bermutu.Antologi cerpen yang menang hadiah boleh menjadi panduan bagi menghasilkan karya bermutu.KUALA LUMPUR, 17 Dis — Sebagai sebahagian pengisian Program Diskusi Buku Impian dan Harapan sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Melaka 2012, saya diberi ruang dan peluang untuk berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan “panduan menulis cerpen untuk memenangi peraduan” pada 8 Disember 2012 di Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka.

Topik yang diberikan adalah amat wajar dan sesuai memandangkan Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan serta Kerajaan Negeri Melaka menerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP) baru sahaja selesai menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak 2010/2011 sempena ulang tahun ke-60 penubuhan IPM.

Beberapa panduan yang saya berikan pada program itu adalah berdasarkan pengalaman mengendalikan siri bengkel cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di seluruh negara sejak 1999.

Apa-apa yang saya kongsikan adalah lebih berupa galakan, bimbingan dan suntikan semangat demi manfaat sesiapa yang berminat untuk menimba ilmu ke arah menghasilkan cerpen-cerpen bermutu, sekali gus meningkatkan peluang memenangi peraduan.

1. Patuhi Syarat Peraduan

Inilah panduan paling utama jika anda merancang untuk mengambil bahagian dalam mana-mana sayembara, peraduan atau pertandingan menulis cerpen. Baca syarat-syarat dan peraturan dengan teliti. Walaupun saya pernah menang dalam beberapa pertandingan cerpen, saya tidak pernah menulis cerpen khusus untuk mana-mana pertandingan.

Bagaimanapun, apabila saya memutuskan untuk mengirim manuskrip cerpen yang sedia ada (sudah ditulis) bagi tujuan pertandingan, saya membaca dan meneliti semua syarat pertandingan itu. Sekiranya manuskrip cerpen yang sedia ada itu memenuhi kesemua syarat, barulah saya mengirimnya untuk dinilai.

Jika anda bercadang menghasilkan manuskrip cerpen khusus untuk pertandingan, maka bacalah peraturan dengan teliti dan jadikannya sebagai panduan sebelum memulakan kerja-kerja menulis cerpen.

Antara syarat, peraturan dan panduan yang perlu diberi perhatian adalah berkenaan panjang cerpen, tema, persoalan, umur peserta, kaum dan agama (memang ada peraduan yang meletakkan syarat itu), tempat lahir, cara menghantar manuskrip dan tarikh tutup.

Biasanya, peraturan pertandingan juga akan menyatakan dengan jelas bahawa cerpen yang menyentuh sensitiviti masyarakat serta menghina kaum dan agama akan ditolak. Dalam konteks budaya Malaysia, tentulah memalukan sekiranya anda sebagai penulis masih ketara menghasilkan karya yang secara terang-terangan menghina, mempersenda, mendiskriminasi dan menjatuhkan maruah kaum, etnik dan penganut agama lain.

Sekiranya segala syarat, panduan dan peraturan pertandingan yang dinyatakan secara jelas itu gagal dipatuhi, tindakan anda menulis dan mengirim manuskrip cerpen itu adalah sia-sia. Penganjur berhak — dan amat wajar — menolak manuskrip yang tidak mematuhi syarat.

2. Baca Laporan Panel Hakim

Sekiranya anda bercadang mengambil bahagian dalam mana-mana peraduan menulis cerpen, ambil inisiatif untuk membaca laporan panel hakim yang biasanya akan diterbitkan bersama-sama antologi atau buku yang diterbitkan.

Dalam laporan panel hakim yang turut dimuatkan dalam antologi Impian dan Harapan (2012) misalnya, dinyatakan bahawa panel telah melihat dari aspek tema, persoalan dan gaya bahasa sebagai penilaian utama.

Aspek-aspek lain yang diberi perhatian turut dinyatakan. Maka, perkara-perkara ini boleh — malah harus — dijadikan panduan asas apabila anda menulis cerpen bagi tujuan pertandingan pada masa hadapan; khususnya jika dianjurkan IPM.

Anda juga wajar — malah wajib — membaca kesemua cerpen yang termuat dalam antologi pertandingan terdahulu untuk memahami kekuatan yang terdapat pada setiap satu daripadanya. Dalam antologi Impian dan Harapan, panel hakim turut menghuraikan kekuatan cerpen “Jangan Ambil Tahu” karya Ab Jalil bin Alimon, “Takdir di Hening Takbir” (Alina binti Idris) dan “Ayun” (Nur Natasha Mohamad Sain) yang menang hadiah utama.

Panel hakim mengakui bahawa ketiga-tiga cerpen berkenaan mengangkat tema yang biasa tetapi kekuatan terletak pada cara cerita diolah dan digarap. Maka, anda boleh “belajar” bahawa seorang penulis yang berbakat pasti mampu menceritakan sesuatu yang biasa dengan gaya dan teknik penceritaan yang luar biasa.

Pembacaan teliti terhadap laporan hakim dan kesemua cerpen yang menang hadiah utama dalam mana-mana pertandingan akan mampu membantu anda menghasilkan cerpen bermutu untuk dikirim bagi pertandingan sama pada masa hadapan.

Calon SPM biasanya membaca, meneliti dan menganalisis kertas soalan tahun-tahun terdahulu. Tindakan itu bagi mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan akan datang. Langkah membaca, meneliti dan menganalisis laporan panel hakin serta kesemua cerpen yang menang dalam pelbagai pertandingan juga mempunyai tujuan hampir sama; iaitu sebagai persiapan bagi menyertai pertandingan cerpen akan datang.

3. Cari Kelainan dalam Cerita

Walau bagaimanapun, dalam usaha memikat hati panel hakim, anda tentu sahaja tidak setakat mampu menulis cerita berdasarkan tema yang biasa-biasa. Saya sering menasihatkan peserta Bengkel Cerpen Kavyan supaya tidak mengulang tema/cerita yang sudah 1008 kali ditulis orang.

Sebagai seorang insan kreatif, anda harus ada kemampuan untuk mencari kelainan dalam tema dan gaya penceritaan. Tugas ini akan menjadi lebih mudah jika anda banyak membaca. Jika idea cerita yang muncul dalam minda merupakan cerita yang klise, bosan dan sudah 1008 kali ditulis orang, maka tinggalkan idea itu dan cari idea lain. — Bersambung minggu depan

Uthaya Sankar SB lahir, membesar dan mendapat pendidikan awal di Taiping, Perak, sebelum berpindah ke Selangor. Karya beliau memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi