Bahasa

Menunggu kemunculan jaguh bola sepak keturunan Tionghua

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Tidak lama dulu, wira bola sepak negara seperti Datuk Soh Chin Aun, James Wong dan Ong Kim Swee merupakan tulang belakang yang memantapkan skuad Harimau Malaya hingga ia disegani di rantau Asia.

Detik mendebarkan sebelum James Wong merobek gawang gol Korea Selatan bagi kemenangan 2-1 pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 1980 masih kekal dalam ingatan peminat bola sepak negara.

Ketika itu James Wong dikenali sebagai ‘Ah Fook’ oleh rakan-rakannya atau ‘King James’ oleh peminatnya. Sebelum jaringan emas James Wong, Malaysia berada di hadapan seawal minit ke-13 menerusi jaringan Bakri Ibni sebelum Gang Nam menyamakan kedudukan pada minit ke-58.

Soh Chin Aun pula dipilih menjadi ketua pasukan negara dalam kelayakan Sukan Olimpik 1974 edisi Seoul, Korea Selatan pada usia 21 tahun. Beliau sebelum itu pernah mewakili negara pada Olimpik 1972 di Munich dan berperanan sebagai ketua pasukan.

Kekentalan pemain yang terkenal dengan gelaran ‘Tauke’ itu mengemudi barisan pertahanan negara bersama Datuk Santokh Singh menghadirkan rasa gerun kepada pasukan Asia yang menentang Malaysia pada era 70-an hinggalah 80-an sehinggakan beliau digelar sebagai Dewa Peperangan.

Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee tidak kurang hebatnya, beliau menyarung jersi kebangsaan sebagai pemain tengah pada tahun 1990-an dan mula menampilkan diri ke perlawanan peringkat antarabangsa ketika bertemu pasukan Kuwait pada 22 September 1994.

Ong turut diberi kepercayaan untuk mengalas cabaran negara ke Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun dan juga pernah bermain untuk skuad negara pada perlawanan persahabatan menentang Flamengo XI pada tahun 1995 di mana Malaysia seri 1-1 dengan Flamengo XI.

Dalam kerjayanya sebagai jurulatih, Ong berjaya membawa pasukan Olimpik negara layak beraksi di peringkat kumpulan perlawanan kelayakan Olimpik London 2012 dan membawa pasukan bimbingannya menjuarai pingat emas pada Temasya Sukan SEA Indonesia pada 2011.

Beliau juga berjaya mencungkil ramai bakat muda baru dalam dunia bola sepak tanah air antaranya ialah Fakri Saarani yang kini bersama Kelab Portugal, Atletico SC dan Mohd Nazmi Faiz Mansor yang pernah bersama kelab Portugal, S.C Beira-Mar sebelum kembali ke Malaysia awal tahun ini atas sebab peribadi.

Selain tiga pemain berkenaan, terdapat beberapa lagi pemain berketurunan Tionghua yang mendapat pengiktirafan untuk beraksi di liga profesional luar negara seperti Chow Chee Keong, Yip Chee Keong, Lim Fung Kee dan Wong Kam Fook yang pernah beraksi dalam Liga Hong Kong.

Tidak terkecuali ialah jurulatih skuad remaja kelab Bayern Munich, Lim Teong Kim yang pernah beraksi bersama kelab dari Jerman iaitu Hertha Berlin dan kelab SK Sturm Graz (Austria).

Nama-nama lain yang sememangnya hebat ialah Wong Hung Nung dan Khang Hung Meng.

Namun, kelibat pemain-pemain seperti mereka tidak lagi kelihatan pada masa kini dan hanya segelintir pemain berketurunan Tionghua yang masih gigih berjuang di atas padang termasuk Yong Kuong Yong (Perak), See Kok Luen (Johor) dan Phoo Kai Lun (Kuala Lumpur).

Bagi pengkritik sukan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim kekurangan kejohanan bertaraf amatur menyebabkan ramai pemain berketurunan Tionghua yang menyepikan diri daripada menyertai sukan nombor satu di dunia itu dan beralih kepada sukan lain seperti bola keranjang dan ping pong.

“Saya fikir sekiranya (pihak-pihak berkepentingan dalam bola sepak) menganjurkan liga berbentuk semi-pro seperti yang pernah diadakan pada ketika dahulu, (saya yakin) ia akan dapat menyuntik kembali minat generasi muda daripada keturunan Tionghua untuk melibatkan diri dalam sukan bola sepak,” katanya.

Katanya, faktor kekurangan padang bola sepak di kalangan Sekolah Jenis Kebangsaan (SKJ) Cina turut menjadi punca kurangnya minat keturunan Tionghua untuk aktif bermain bola sepak.

“Hampir seluruh SKJ Cina tidak mempunyai padang bola sepak tapi mereka ada gelanggang bola keranjang menyebabkan mereka lebih dekat dengan sukan tersebut berbanding dengan sukan bola sepak,” katanya.

Pandangan Khoo itu turut disokong salah seorang penggiat bola sepak tempatan yang enggan mendedahkan identitinya.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan bola sepak menyarankan supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan kembali Liga Semi-Pro di negara ini bagi merancakkan lagi kehangatan bola sepak tempatan.

Katanya, komitmen sepenuh masa selaku pemain dan bayaran gaji yang tidak lumayan turut mendorong masyarakat keturunan Tionghua meninggalkan sukan bola sepak.

“Dahulu, para pemain tidak mengira bangsa boleh beraksi secara sambilan kerana mereka tidak terikat dengan sebarang kontrak, namun dengan perubahan dalam kancah bola sepak tempatan yang didakwa semakin profesional menghalang mereka daripada terus menabur bakti dalam sukan ini,” katanya.

Untuk rekod, perlawanan liga bola sepak di negara ini diadakan secara amatur pada 1921 sebelum FAM mewujudkan Liga Semi-Pro Malaysia pada 1933 dan berakhir pada 1988.

Setahun kemudian, FAM mula mengorak langkah untuk memartabatkan bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi dengan memperkenalkan Liga Malaysia sebelum memasuki era profesional sepenuhnya pada tahun 1993. – Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.